Kenapa penjual-pembeli di pasar ini saling berbisik?

- Advertisement -

KALAU dahulu orang tua-tua sering mengusik, ‘sik-sik batang pinang, siapa bisik nak bertunang,’. Tetapi bisik di pasar ikan di Kuala Muda, Kota Kuala Muda, Kedah dan pasar ikan Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang ini, lain pula maknanya.

Bisik-bisik di dua pasar yang bertentangan dan dipisahkan oleh muara sungai ini bukannya hendak bertunang, tetapi untuk tawar-menawar berjual beli hasil laut hinggalah menyebabkan pasar tersebut dikenali sebagai Pasar Bisik.

Pasar ini bukan sahaja unik, malah menjadi destinasi pengunjung luar untuk mendapatkan hasil laut yang segar dari peraih atau penjual mahupun nelayan dari pendapatan langsung di jeti berhampiran.

Sekiranya kita ke pasar-pasar lain, pastinya suasana jauh berbeza dengan riuh-rendah peniaga menarik dan mempromosikan jualan kepada pelanggan, tetapi di Pasar Bisik keadaannya tenang sahaja.

Malah berapa harga jual beli antara peniaga atau pelanggan juga tidak diketahui kerana operasi penjualan dilakukan secara berbisik.

Tetapi kebanyakan yang berurus niaga di Pasar Bisik ini, membelinya dengan kuantiti banyak, namun ada juga membeli sekadar untuk keperluan keluarga.

Amalan berbisik telah dimulakan sejak lebih 50 tahun lalu dan kekal sebagai tradisi bagi menentukan harga jual beli di antara peniaga atau nelayan dengan pelanggan, hingga ke hari ini.

Pasar Bisik ini dikatakan mula beroperasi sebagai tempat pendaratan pelbagai hasil tangkapan nelayan tempatan sejak 1960-an lagi yang ketika itu hanya pondok kayu di tepi pantai.

Tetapi kini walaupun sudah bertukar kepada bangunan, namun kaedah berbisik itu tetap menjadi amalan.

Dibuka seawal pagi dan kebiasaannya Pasar Bisik ini menutup operasi jualannya selewat-lewatnya jam 12 tengahari.

Selain membeli hasil laut di sini, pengunjung juga boleh mengambil kesempatan untuk ‘healing’ ke Pantai Merdeka yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pasar Bisik, sama ada untuk berehat atau mengambil angin laut.

Pantai Merdeka yang sememangnya terkenal sebagai destinasi untuk beriadah bersama keluarga, juga terdapat gerai makanan dengan pelbagai menu, sekitar pantai tersebut.

Malah, kalau ada yang ingin ke Tanjung Dawai, boleh sahaja menaiki bot penambang dari Pantai Merdeka, yang mengambil masa antara lima hingga tujuh minit perjalanan dengan kadar tambang RM6 untuk dua hala.

Di Tanjung Dawai, selain terdapatnya arkeb menjual hasil laut yang dikeringkan, terdapat juga restoren makanan laut yang segar serta sedap, sekitarnya.

Jadi, apa lagi ‘jom mai Kedah’ dan nikmatilah ‘Exprerience Kedah’ apatah lagi sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, yang cukup memikat hati pengunjung ini. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

- Advertisement -
- Advertisement -