Vape: Kerajaan perlu utamakan faktor kesihatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, kerajaan perlu meletakkan faktor kesihatan sebagai keutamaan umum dan tidak mengutamakan keuntungan semata-mata.

- Advertisement -

Kenyataan itu dibuat susulan pandangan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin baru-baru ini bahawa sukar untuk kerajaan mengharamkan vape atau rokok elektronik.

Menurut Hanif, perbincangan mengenai vape dari sudut kesihatan dan keuntungan mempunyai dua sisi yang sama sekali jauh berbeza.

“Dari segi bisnes, vape bagi keuntungan besar kepada peniaga, kilang, pembekal, semua dapat duit. Sebab itu industri vape berkembang pesat, lebih-lebih lagi bila ramai yang percaya vape lebih ‘selamat’ daripada rokok biasa.

“Tapi kalau tengok dari sudut kesihatan, cerita dia lain. Walaupun ada yang kata vape ‘kurang bahaya’ daripada rokok biasa, hakikatnya ia tetap ada risiko,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Tambah beliau, Islam juga ada menyentuh mengenai vape dan boleh dilihat dari beberapa sudut iaitu kesihatan, kemudaratan dan hukum syarak.

“Prinsip ‘La Darar wa La Dirar’ atau tidak memudaratkan diri dan orang lain. Islam sangat menekankan konsep tidak boleh memudaratkan diri sendiri atau orang lain.

“Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2015 mengeluarkan fatwa bahawa penggunaan vape adalah haram kerana membawa kemudaratan kepada kesihatan.

“Allah berfirman dalam Surah Al-Isra’, ayat 27, ‘Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.’ Vape bukan sahaja boleh memudaratkan kesihatan, tetapi juga membazirkan wang untuk sesuatu yang tidak bermanfaat,” ujarnya.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan untuk mengambil keputusan pengharaman vape jika ia melibatkan maslahah ammah (kepentingan umum).

“Benda ini bukan pasal individu je, tapi juga kesan kepada masyarakat. Kalau ramai orang sakit sebab vape, kos rawatan kesihatan pun meningkat, beban pada sistem perubatan pun makin berat.

“Pihak kerajaan perlu mengambil keputusan pengharaman vape jika ia melibatkan maslahah ammah. Jangan sampai kita menyesal di kemudian hari hanya sebab nak kejar keuntungan jangka pendek,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/2/2025

- Advertisement -