Himpunan Muslimat PAS Cawangan dirasmikan serentak

- Advertisement -

ALOR SETAR: Perasmian Serentak Himpunan Muslimat Cawangan, Dewan Muslimat PAS Kedah telah diwakili 1,000 anggota Muslimat dari PAS Cawangan-cawangan seluruh negeri ini, di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.

- Advertisement -

Program tahunan itu dirasmikan Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad, selain turut menyampaikan ucapan, antaranya Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ts Dr Mohd Suffian Yusoff dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.

Pada ucapan perasmian itu, Dato’ Ustaz Idris menekankan peranan muslimat di peringkat cawangan melibatkan diri pada program-program masyarakat sama ada kuliah-kuliah di masjid, surau dan sebagainya.

Selain itu, beliau juga menggesa muslimat cawangan mempertingkatkan pemerkasaan parti dan mewujudkan pelapis sebagai penerajui pada masa akan hadapan.

Pada majlis itu, Penolong Setiausaha Dewan Muslimat PAS Kawasan Baling, Asmah Abdul Majid dipilih sebagai penerima Anugerah Muslimat Istiqamah.

Sementara Setiausaha Dewan Muslimat PAS Kubang Pasu, Nurulhusna Khalid pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Muslimat Muda Istiqamah.

Dalam pada itu, Dewan Muslimat PAS Kawasan Pendang tampil sebagai penyertaan cawangan teramai, diikuti Dewan Muslimat PAS Kawasan Baling dan seterusnya Dewan Muslimat PAS Kawasan Sik.

Untuk julung kali, sempena himpunan tersebut diadakan pertandingan sepanduk terbaik di mana para juri bersepakat memilih sepanduk Dewan Muslimat PAS Kawasan Kulim-Bandar Baharu sebagai pemenang pertama.

Diikuti tempat kedua Dewan Muslimat PAS kawasan Jerai dan ketiga Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Kedah.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Datuk Ustaz Idris, sementara majlis diakhiri dengan bacaan ikrar yang diketuai Dr Zarlena Zakaria. – HARAKAHDAILY 2/2/2025

- Advertisement -