PAS Selangor gesa SPRM siasat operasi i-City

- Advertisement -

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk menyiasat kewujudan unsur kekebalan atau campur tangan pihak tertentu yang memungkinkan i-City beroperasi tanpa kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

- Advertisement -

Setiausaha PAS Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, pihaknya hairan dan pelik terhadap tindakan pihak i-City yang jelas melanggar arahan dan perintah MBSA kerana tetap meneruskan operasi di taman tema berkenaan.

“Tindakan ini sangat tidak masuk akal, ganjil dan jelik kerana sengaja membelakangi undang-undang serta mencerminkan sikap tidak menghormati autoriti yang diperuntukkan kepada pihak berkuasa.

“Pengabaian undang-undang secara berani seperti ini menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kegagalan untuk bertindak tegas dalam isu ini mencerminkan kelemahan dalam sistem pentadbiran negeri serta membuka ruang kepada unsur amalan pecah amanah

“PAS Selangor menegaskan bahawa semua pihak, tanpa mengira status atau pengaruh, perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Kami menggesa dan akan menyokong sepenuhnya MBSA untuk mengambil tindakan tegas dan segera dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap i-City, termasuk mempertimbangkan tindakan undang-undang yang lebih berat sekiranya masih berdegil.

“Keselamatan dan kepentingan rakyat tidak boleh dikompromi. Selangor deserves better!” katanya.

Terdahulu, dalam satu insiden yang berlaku pada Rabu, satu belon pelampung dilaporkan terjatuh menimpa seorang pengunjung di kawasan bawah gelongsor air kaca taman tema berkenaan yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan. – HARAKAHDAILY 2/2/2025

- Advertisement -