
OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengumumkan bahawa pihaknya akan membalas tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang melancarkan ‘perang perdagangan’ dengan mengenakan tarif ke atas semua barangan Kanada.
Dalam pengumuman yang dibuat lewat malam semalam, Trudeau berkata Kanada tidak akan berdiam diri terhadap serangan dari negara yang sepatutnya menjadi sekutu dan sahabat negaranya.
“Ottawa akan segera mengenakan tarif ‘balas dendam’ terhadap pelbagai barangan AS sebagai tindak balas terhadap percubaan Trump untuk merosakkan ekonomi Kanada,” katanya.
Untuk permulaan, Kanada akan mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan AS bernilai A$30 bilion (RM133 bilion) yang masuk ke Kanada bermula Selasa ini.
Tarif tersebut kemudian akan dikenakan ke atas barangan import AS bernilai A$125 bilion (RM556 bilion) dalam masa tiga minggu.
Sementara itu, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mengarahkan menteri ekonominya untuk melaksanakan langkah tarif dan bukan tarif bagi mempertahankan kepentingan negaranya, selepas AS mengenakan cukai ke atas barangan dari Mexico.
Dalam satu hantaran di laman X, Sheinbaum menekankan bahawa kerajaan beliau tidak bertujuan untuk ‘berkonfrontasi’ dengan negara jiran utaranya itu, sebaliknya ingin menjalinkan kerjasama dan dialog.
Sheinbaum yang sering berusaha meredakan ketegangan dengan Trump memuji rekod kerajaannya sejak beliau mengambil alih jawatan pada Oktober lalu, termasuk merampas 20 juta dos dadah sintetik yang boleh membawa maut, selain menahan lebih 10,000 individu yang terlibat dalam penyeludupan dadah. – AGENSI











