Naikkan harga lantai padi, elak pekilang beras tersepit

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mencadangkan supaya harga lantai belian padi dinaikkan bagi menyesuaikan dengan peningkatan kos pengeluaran semasa. 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, harga lantai sekitar RM1,500 hingga RM1,800 per tan adalah lebih munasabah berbanding kadar semasa RM1,300 per tan. 

“Dalam masa yang sama, harga beras tempatan RM2.60 sejak 16 tahun lalu perlu dinaikkan sedikit kepada paras sekitar RM3 sekilogram.

“Ia lebih baik dari situasi sekarang di mana beras tempatan dijenamakan sebagai beras import dan dijual melebihi RM4 sekilogram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kini kilang-kilang bukan Bumiputera menawarkan harga tinggi untuk mendapatkan bekalan padi, sehingga mencecah RM2,000 per tan.

Katanya, hal ini menyebabkan kilang Bumiputera tidak dapat menjual beras tempatan pada harga kawalan RM2.60 sekilogram tanpa mengalami kerugian. 

“Maka bagaimana kilang nak untung? Bila beli padi dengan harga tinggi, kilang-kilang ini mendapatkan keuntungan dengan cara menjenamakan beras tempatan keluaran mereka sebagai beras import.

“Sama ada dengan mencampurkan beras import atau memang beras tempatan sepenuhnya tapi dilabelkan sebagai import. Lalu mereka boleh jual dengan harga tinggi tanpa kawalan,” jelasnya.

Terdahulu, Utusan melaporkan kilang padi Bumiputera terbesar di negeri Perlis yang beroperasi sejak 57 tahun lalu bakal gulung tikar selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kilang Dibuk Sdn Bhd yang sebelum ini memberi kemudahan kepada lebih 10,000 petani di negeri ini bagi menjual hasil tuaian mereka sudah tidak mampu lagi bertahan berikutan tekanan lonjakan harga belian padi tinggi di sebalik harga beras masih rendah.

Malah, dalam tempoh dua tahun, kilang padi berkenaan diusahakan Marzukhi Othman yang cukup terkenal di Perlis itu sudah mengalami kerugian lebih RM10 juta membabitkan kesemua tiga kilang miliknya.

Dua daripada tiga kilang itu sudah menutup operasi dengan satu lagi bakal ‘bungkus’.

Menurut Azman yang juga Pengerusi Lajnah Pertanian PAS Pusat, kilang-kilang bumiputera yang ingin beroperasi secara jujur berada dalam keadaan tersepit.

“Kalau mereka beli padi dengan harga rendah maka mereka tak akan dapat bekalan padi. Untuk bersaing dengan kilang-kikang besar bukan bumiputera, mereka juga perlu menawarkan harga belian padi yang tinggi.

“Tapi beras tempatan keluaran mereka perlu dijual dengan harga kawalan RM2.60 sekilogram yang sudah tentu akan merugikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Pusat khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu ambil langkah segera bagi melindungi kepentingan pengilang Bumiputera. – HARAKAHDAILY 2/2/2025

- Advertisement -