PAS Selangor sokong inisiatif STEM berasas al-Quran

Dilaksana di Sekolah Menengah Agama seliaan JAIS

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Selangor menyambut baik dan menyokong penuh langkah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menerapkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berasaskan al-Quran di 23 Sekolah Menengah Agama di bawah seliaan JAIS pada tahun ini.

- Advertisement -

Pesuruhjayanya, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, inisiatif itu selaras dengan ajaran Islam yang menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan kajian saintifik yang dapat dieksplorasi dalam disiplin ilmu wahyu.

“Pengintegrasian STEM dengan ilmu al-Quran merupakan pendekatan klasik tamadun Islam yang sangat releven untuk dilaksanakan kembali dalam usaha membentuk pelajar menguasai bidang STEM ke tahap yang lebih tinggi serta memberi manfaat kepada kehidupan sejagat.

“PAS Selangor juga pada masa yang sama mengecam sekeras-kerasnya pihak yang memperlekeh usaha murni ini dan mempertikaikan keselarasan antara al-Quran dan STEM,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras dalam pada itu menepis tanggapan bahawa Islam tidak mendukung kemajuan sains dan teknologi.

“Tanggapan bahawa Islam tidak mendukung kemajuan sains dan teknologi adalah satu pandangan dangkal serta tidak berasaskan fakta sejarah Islam.

“Hakikatnya, dunia Islam pernah melahirkan ramai ilmuwan unggul dalam bidang STEM seperti Al-Khwarizmi, Ibnu Sina dan Al-Biruni yang menjadi rujukan dunia termasuk barat pada hari ini.

“Sebagai alumni sekolah JAIS dan berpengalaman terlibat dalam sektor pendidikan di Institut Pengajian Tinggi (IPT), saya mewakili PAS Selangor menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik dan masyarakat di Selangor untuk juga menyokong pelaksanaan inisiatif ini demi pembangunan dan keberhasilan modal insan rakyat Selangor yang lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/2/2025

- Advertisement -