Pesawah patutnya perlu dibantu, bukan dipersalahkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Dato’ Mahfuz Omar perlu melihat secara holistik faktor-faktor yang menyumbang kepada rendahnya hasil tuaian padi di negara ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin menyuarakan demikian susulan Mahfuz dalam ucapannya semalam yang menggesa pesawah agar fokus kepada peningkatan hasil dan bukannya kenaikan harga padi.

“Perlu diingat proses dan pekerjaan bagi meningkatkan hasil padi bukannya menggunakan air liur, ianya juga melibatkan kos.

“Secara holistik, di samping benih yang berkualiti bagi meningkatkan hasil, ianya juga memerlukan input agronomi, pengawalan penyakit dan perosak (P&D) serta penggunaan teknologi serta pegairan yang mencukupi.

“Umum diketahui, bahawa sewaktu Covid-19 melanda dunia dalam masa yang sama berlaku peperangan antara Ukraine dan Russia telah mengakibatkan harga baja dan input bahan-bahan pertanian lainnya naik melambung.

“Selepas wabak Covid-19, walaupun harga baja dan input pertanian lainnya sedikit menurun ianya masih mahal berbanding sebelum Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, adalah tidak wajar untuk menyalahkan pesawah semata-mata berikutan kadar pengeluaran padi yang rendah.

“Tidak dinafikan hasil yang tinggi, akan merendahkan kos per unit pengeluaran. Tetapi, meningkatkan hasil juga perlu kepada kos, apalagi dalam keadaan sekarang kos pengeluaran memang tinggi.

“Oleh itu, adalah tidak wajar meletakkan beban kesalahan kepada pesawah seolah-olah pesawah tidak fokus kepada meningkatkan hasil sebaliknya berfokus kepada menaikkan harga padi sahaja,” tegasnya.

Justeru, tambah beliau, pesawah perlu dibantu dan masalah ini perlu ditangani dengan segera bagi memastikan beras tempatan kembali berada di pasaran.

“Sebagai rakyat Malaysia, pesawah dan petani juga mempunyai hak untuk menikmati kehidupan sejahtera di negara bertuah ini. Keluhan dan rintihan pesawah padi perlu didengari dan diselesaikan secepatnya.

“Rakyat Malaysia ternanti-nanti bila agaknya dapat melihat kembali beras tempatan berada di rak-rak pasar raya dan kedai,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/2/2025

- Advertisement -