Brainstorming BPPK: Ke arah mencetak kemenangan PRU16

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, pada 31 Januari hingga 1 Februari 2025, Badan Perhubungan PAS Kelantan (BPPK) telah menganjurkan program Brainstorming Badan Perhubungan PAS Kelantan di Tok Aman Bali Beach Resort, Pasir Puteh. Program ini menghimpunkan semua wakil rakyat PAS dari Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kelantan termasuklah kepimpinan utama PAS Kawasan dalam satu medan muhasabah dan percambahan idea strategik bagi memastikan PAS terus unggul dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Program ini telah dirasmikan oleh Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ustaz Ahmad Yakob, Pesuruhjaya PAS Kelantan dan ditutup dengan amanat berharga daripada Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan. Sepanjang dua hari ini, pelbagai pengisian menarik serta perbincangan mendalam telah berlangsung, menyentuh aspek pengukuhan gerak kerja parti, strategi komunikasi berkesan, serta perancangan jangka panjang bagi memastikan PAS terus mendapat kepercayaan rakyat Kelantan.

Antara tokoh utama PAS yang turut hadir memberikan pengisian dalam program ini ialah Tan Sri Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS; Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS; Dato’ Sri Amar Diraja Dato’ (Dr) Mohd Amar Abdullah, Naib Presiden PAS; dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS Pusat. Kehadiran mereka memberikan motivasi dan input strategik kepada semua wakil rakyat PAS dalam usaha mempersiapkan jentera menghadapi PRU16.

Antara elemen penting dalam program ini ialah sesi muhasabah yang bertujuan menilai pencapaian serta kekurangan yang perlu diperbaiki dalam kepimpinan dan gerak kerja di lapangan. Keikhlasan dalam menerima teguran dan semangat untuk terus memperbaiki diri menjadi kunci kepada kejayaan jemaah. Perbincangan yang terbuka dan penuh ukhuwah menggambarkan kesatuan fikrah dan kesepaduan dalam perjuangan.

- Advertisement -

Lebih bermakna, program ini turut diserikan dengan pengisian rohani seperti qiyamullail yang memberi kesan mendalam dalam menyuntik kembali roh tarbawi ke jiwa setiap peserta. Dalam suasana penuh ketenangan, para pimpinan dan peserta sama-sama bermunajat kepada Allah SWT, memohon pertolongan dan keberkatan dalam perjuangan ini. Keindahan persaudaraan Islam benar-benar terserlah apabila semua yang hadir duduk sama rendah dalam majlis ilmu dan pengisian tarbiah, tanpa mengira kedudukan atau pangkat. Di dalam program tarbiah, semuanya adalah anggota jemaah yang sama-sama memikul tanggungjawab perjuangan.

Ukhuwah yang terjalin erat dan pengorbanan para pemimpin serta ahli adalah rahsia besar di sebalik kekalnya kerajaan Kelantan di bawah PAS. Setiap pemimpin mengorbankan kepentingan diri demi Islam, berpanas dan berhujan mendengar denyut nadi rakyat, menghulurkan tangan ketika ummah memerlukan. Ahli-ahli PAS pula terus berdiri teguh, berkorban tenaga dan masa tanpa mengharapkan habuan dunia, kerana keyakinan bahawa perjuangan ini adalah jalan menuju reda Allah SWT. Inilah kisah perjuangan yang tidak ternilai, kisah air mata dan peluh, kisah keikhlasan yang menjadi tiang kekuatan gerakan Islam.

Sejarah telah membuktikan bahawa tarbiah merupakan kunci utama kejayaan gerakan Islam dalam menempuh pelbagai cabaran politik dan sosial. PAS sendiri telah menjadikan tarbiah sebagai tunjang utama dalam membentuk kader-kader perjuangan yang berdisiplin, berintegriti, dan berwawasan. Sejak penubuhannya, PAS terus istiqamah dalam membina kekuatan dalaman melalui sistem usrah, tamrin, dan daurah bagi melahirkan pemimpin dan ahli yang teguh dalam menghadapi cabaran zaman.

Kepentingan tarbiah dalam jemaah Islam tidak dapat dinafikan, kerana ia berperanan membentuk keperibadian ahli yang ikhlas dalam berkhidmat, sabar dalam menghadapi ujian, serta istiqamah dalam perjuangan. Dalam konteks PAS, tarbiah bukan sekadar satu aktiviti rutin, tetapi merupakan proses yang berterusan bagi melahirkan pemimpin yang bukan sahaja memahami tuntutan syarak, tetapi juga memiliki kebijaksanaan dalam mengurus politik dan masyarakat. Dengan tarbiah, gerak kerja menjadi lebih tersusun, manakala ukhuwah sesama ahli semakin utuh, sekali gus memperkuatkan organisasi dalam menghadapi pelbagai cabaran politik semasa.

Selain tarbiah, perancangan rapi juga menjadi asas kepada kejayaan sesebuah gerakan Islam. Kemenangan tidak dicapai dengan spontan, tetapi melalui strategi yang teliti, penyusunan jentera yang mantap serta kejelasan visi dan misi. PAS Kelantan terus komited dalam merancang dan melaksanakan strategi terbaik bagi memastikan negeri ini kekal sebagai kubu kuat perjuangan Islam. Dengan kepimpinan yang berwibawa dan ahli yang berdisiplin, Insya-Allah, PAS akan terus relevan dan mampu mencapai kemenangan yang lebih besar dalam PRU16.

Pada tahun 2025 ini, Kerajaan Negeri Kelantan telah menjangkau usia 35 tahun sejak PAS memenangi pilihan raya negeri pada tahun 1990. Legasi ini adalah warisan kepimpinan Almarhum Tuan Guru Tan Sri Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah meletakkan asas pentadbiran Islam yang berkebajikan, adil, dan berteraskan keimanan kepada Allah SWT. Rakyat Kelantan menaruh harapan tinggi agar kerajaan yang diasaskan dengan prinsip Islam ini terus kekal berkhidmat dengan penuh amanah dan istiqamah. Kepercayaan rakyat selama lebih tiga dekad ini adalah bukti kejayaan sistem pentadbiran yang bersih, cekap, dan berorientasikan kesejahteraan ummah.

Semoga program ini menjadi titik tolak kepada kekuatan baharu PAS Kelantan dalam menghadapi cabaran politik mendatang. Dengan tekad dan iltizam yang tinggi, Insya-Allah, PAS akan terus mempertahankan Kelantan dan mencetak kemenangan yang lebih gemilang pada PRU16.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/2/2025

- Advertisement -