Takiyuddin pelawa Zaid Ibrahim untuk sertai PAS

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS menawarkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mohd Zaid Ibrahim untuk menyertai parti itu berbanding beliau menyuruh orang lain berbuat demikian.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tokoh politik itu lebih berkelayakan untuk berbuat demikian berbanding mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya kira-kira 15 tahun lalu Badan Perhubungan Umno Kelantan pernah menjual sebuah bangunan di Kota Bharu kepada PAS Kelantan, bahkan premis tersebut dimiliki oleh Zaid Ibrahim.

“Zaid tidak mahu masuk PAS, bangunan dia bangunan Umno Kelantan PAS beli, sepatutnya dia kena masuk PAS, saya persilakan Zaid untuk masuk PAS,  lulus atau tidak kita tak tahu lagi.

“Kita pelawa dia masuk PAS, kenapa dia pelawa Khairy Jamaluddin (KJ) pula, dia kena masuk PAS,” katanya dalam satu majlis di Sekolah Rendah Integrasi Tunas Islam (SRITI) al Fateh di sini semalam.

Pada episod terbaharu audio siarnya, Zaid Ibrahim sebelum ini mencadangkan Khairy Jamaluddin menyertai PAS jika ingin muncul semula dalam politik selain menolak idea penubuhan parti baharu.

Malah, mantan Ketua Bahagian Umno Kota Bharu itu, turut menggalakkan pemimpin Umno terpinggir mempertimbang PAS sebagai wadah, sambil menyatakan parti itu mampu menawarkan masa depan lebih baik.

Pada Januari 2023, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar digantung Umno di samping beberapa pemimpin utama kerana didakwa melanggar disiplin parti. – HARAKAHDAILY 2/2/2025

- Advertisement -