
BENTONG: PAS Bentong melalui Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) meneruskan tradisi meraikan kaum Tionghua sempena sambutan Tahun Baru Cina sebagai salah satu gerak kerja dakwah berterusan di lapangan meneruskan motto PAS Teraju Pahang.
Yang Dipertua PAS (YDP) kawasan, Cikgu Khairuddin Abdullah bersama Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan, Yusma Yusof, berkesempatan menyantuni penghuni Rumah Orang Tua-Tua, Batu Satu, Jalan Tras, di sini, semalam. (Foto atas)
Program ziarah tersebut memberi peluang kepada masyarakat melihat PAS bukan sekadar parti siasah tetapi juga sebagai agen dakwah Islam menyatukan semua bangsa.
Ketua Lajnah Dakwah, Zamri Nong, Ketua Lajnah Kebajikan Muslimat, Suryani Mansor beserta Roslin Jidin selaku Pembantu Khas kepada YDP turut hadir yang disertai juga wakil Parti GERAKAN, William Tan.
Program bermula sekitar jam dua petang tersebut disambut Wong Lian Keow selaku pengurus rumah orang tua-tua tersebut dan seorang pembantu.
Menurut Khairuddin yang juga merupakan Pengerusi LPN Pahang, antara objektif lain program tersebut adalah untuk menjalin hubungan baik dengan pihak pengurusan rumah tersebut.
Selain itu, ia juga merupakan aktiviti rutin tahunan PAS Bentong sempena Tahun Baru Cina.
Di dalam program tersebut, PAS Bentong telah menyerahkan sebanyak empat kotak buah limau mandarin bersama dua hamper iringan sementara parti GERAKAN pula turut menyerahkan dua kotak limau berserta angpau.
“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengurus rumah ini atas kesudian menerima kunjungan kami untuk beramah mesra dengan penghuni di rumah ini,” ujar Khairuddin disusuli ucapan Selamat Tahun Baru Cina dan diterjemahkan oleh William Tan dalam bahasa Mandarin. – HARAKAHDAILY 29/1/2025











