
KLANG: Dua beradik dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan van jenazah yang dicuri daripada sebuah masjid di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.
Majistret Amirul Asyraf Abd Rashid menjatuhkan hukuman terhadap Abdul Hamid Rizan, 27, dan adiknya, Faizal Rizan, 23, yang didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun serta denda jika sabit kesalahan, seterusnya hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 25 Januari lalu.
Menurut fakta kes, laporan polis dibuat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun pada 21 Januari lalu berhubung kehilangan van jenazah Toyota Hiace bernilai RM30,000.
Van tersebut dilaporkan hilang dari masjid berkenaan pada 2:30 petang, 17 Januari lalu sehingga jam 7:45 petang, 21 Januari lalu.
Pada 25 Januari, sekitar jam 1:05 pagi, kedua-dua tertuduh ditahan di hadapan sebuah surau di Iskandar Puteri, Johor bersama van itu dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Semakan polis mendapati nombor pendaftaran asalnya adalah milik van jenazah yang dilaporkan hilang di Kampung Telok Gong di Pelabuhan Klang.
Terdahulu, peguam Mark Jeyakumar yang mewakili kedua-dua tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman lebih ringan kerana anak guamnya melakukan kesalahan itu akibat tekanan kewangan dan gangguan daripada peminjam wang tidak berlesen (along).
Jeyakumar berkata, kedua-dua tertuduh melakukan pinjaman itu kerana terdesak untuk menanggung isteri dan anak masing-masing selain dua lagi adik mereka berusia 17 dan 14 tahun.
“Mereka dijanjikan mendapat bayaran berjumlah RM30,000 dengan melakukan kesalahan mencuri itu. Peminjam wang tidak berlesen ini kerap mengganggu empat beradik ini. Mereka terdesak,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua tertuduh bekerja di gudang sebuah platform e-dagang, manakala ibu bapa mereka telah meninggal dunia, selain mereka turut memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Rabiul Awal Ishak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kenderaan yang dicuri adalah kemudahan awam bagi pengurusan jenazah.
“Selain itu mohon barang kes (van jenazah) diserahkan semula kepada pemilik asal,” katanya.
Selepas menjatuhkan hukuman itu, Amirul Asyraf mengarahkan supaya barang kes dikembalikan kepada pemilik asalnya. – HARAKAHDAILY 29/1/2025











