Konvoi Jelajah Al-Quds rentas Semenanjung

Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun (kanan) bersama peserta menunjukkan jersey konvoi al-Quds Selangor. (FOTO: FB/Pemuda PAS Selangor)
- Advertisement -

HULU BERNAM: Hampir 200 peserta dari pelbagai latar belakang hadir dalam Konvoi Jelajah Minggu al-Quds Peringkat Selangor di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz Ibnu Sina Hulu Bernam, Kerling, di sini hari ini.

- Advertisement -

Pengarah Jelajah merangkap Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Malaysia, Mohamad Kamal Mohamed berkata, program itu dianjurkan sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan usaha mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

“Konvoi ini berlangsung bermula 25 Januari sehingga 8 Februari yang telah merentasi beberapa negeri termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan akan berakhir di Kelantan.

“Ini bermakna saya bercuti selama 15 hari dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan yang sudi memberi ruang dan waktu untuk menyertai konvoi ini sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Semoga usaha ini diberkati dan kemenangan berpihak kepada mereka, Insya-Allah,” katanya dalam ucapan dalam program itu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Hulu Langat, Shehdi Hazrik Shamsudin; dan Naqib Kelab Menunggang Alternatif (ARC) Selangor, Hanafi Zulkapli.

Program itu bermula pada jam 9:30 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu rasmi PAS dan disempurnakan dengan bacaan doa oleh Timbalan Naqib ARC Selangor, Dr Waafi Badruldin.

Seterusnya, ADUN Hulu Bernam, Mu’izzuddeen Mahyuddin, turut mengalu-alukan kehadiran peserta dan menegaskan bahawa program itu menjadi satu sejarah serta titik permulaan yang akan diteruskan pada masa akan datang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun, turut memberikan pesanan agar peserta berhati-hati sepanjang perjalanan, terutama mereka yang menunggang motosikal berkuasa tinggi, serta peserta warga emas dan anak muda.

“Para peserta dijadualkan bergerak secara berkumpulan dengan satu matlamat yang sama sambil berzikir dan berdoa, dengan harapan usaha yang dilakukan mendapat keberkatan,” katanya.

Terdahulu, Perlis mencatat sejarah sebagai tuan rumah Majlis Pelancaran Minggu al-Quds Sedunia 2025, sebuah acara penting menghimpunkan umat Islam untuk menyatakan solidariti terhadap Palestin.

Konvoi ini yang seterusnya akan menjelajah ke seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, dan akan berakhir di Kelantan pada 8 Februari.

Program itu juga membawa moto ‘Demi Al-Aqsa: Masjid dan Amanah Kita’, dengan harapan dapat menyemarakkan semangat perpaduan umat Islam serta memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus memperjuangkan hak rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 29/1/2025

- Advertisement -