Penduduk Palestin akhirnya kembali ke utara Gaza

Ribuan penduduk Palestin berjalan kaki untuk pulang ke utara Gaza.
- Advertisement -

KAHERAH/BAITUL MAQDIS: Puluhan ribu rakyat Palestin bergerak di jalan-jalan utama menuju ke utara Gaza, semalam dengan perasaan gembira untuk kembali ke rumah selepas berbulan-bulan tinggal di tempat perlindungan sementara.

Namun, mereka bimbang dengan keadaan rumah yang mungkin telah musnah akibat pengeboman besar-besaeran tentera rejim Zionis.

- Advertisement -

Kepulangan mereka yang ditangguhkan pada hujung minggu lalu, diteruskan selepas Hamas bersetuju untuk menyerahkan tiga tebusan Israel minggu ini, manakala tentera rejim Zionis mula berundur dari koridor utama di wilayah itu mengikut perjanjian gencatan senjata dalam peperangan selama 15 bulan.

Di Israel, keluarga tebusan menunggu dengan penuh debaran untuk mendengar berita mengenai orang tersayang mereka.

Sepanjang jalan di persisiran pantai Mediterranean di Gaza, sekumpulan besar orang, ada yang mendukung bayi atau membawa barang-barang di bahu mereka, berjalan ke utara dengan berjalan kaki.

“Saya seperti dilahirkan semula dan kami menang semula,” kata seorang ibu Palestin, Umm Mohammed Ali, yang merupakan sebahagian daripada barisan panjang yang bergerak perlahan di sepanjang jalan pesisir itu.

Saksi mengatakan bahawa penduduk pertama tiba di Bandar Gaza pada awal pagi selepas pintu masuk pertama di Gaza tengah dibuka pada jam 7 pagi. Pintu masuk lain dibuka kira-kira tiga jam kemudian, membolehkan kenderaan masuk.

“Hati saya berdegup kencang. Saya fikir tidak akan dapat kembali,” kata Osama, 50, seorang penjawat awam dan bapa kepada lima orang anak, sebaik sahaja tiba di Bandar Gaza.

Wanita dan kanak-kanak Palestin tabah berjalan kaki.
Wanita Palestin riang berkereta menuju ke utara Gaza.

“Sama ada gencatan senjata berjaya atau tidak, kami tidak akan meninggalkan Bandar Gaza dan kawasan utara lagi, walaupun Israel menghantar sebuah kereta kebal untuk setiap seorang daripada kami. Tidak akan ada lagi pemindahan.”

Keluarga yang berulang kali kehilangan tempat tinggal selepas lebih 15 bulan perang, bersorak di tempat perlindungan dan kem khemah apabila mereka mendengar pintu masuk akan dibuka.

“Saya tidak tidur, semua sudah saya kemas dan bersedia untuk pergi dengan cahaya pertama pagi,” kata Ghada, seorang ibu kepada lima anak.

“Sekurang-kurangnya kami akan pulang ke rumah, sekarang saya boleh katakan perang telah berakhir dan saya berharap keadaan akan terus tenang,” katanya.

Kanak-kanak yang memakai jaket tebal dan membawa beg galas berjalan berpegangan tangan. Lelaki menolak warga emas dengan kerusi roda dan keluarga bergambar, manakala pegawai-pegawai yang diupah Hamas memakai vest merah mengarahkan mereka di sepanjang jalan.

Walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata, pegawai hospital Palestin melaporkan seorang pemandu jentolak maut terkena peluru berpandu Israel di sepanjang jalan pesisir barat kem Nuseirat di Gaza tengah. Tiada komen segera daripada rejim Zionis Israel.

Tentera rejim Zionis dalam satu kenyataan mendakwa, pihaknya “beroperasi dengan tepat” terhadap suspek yang dianggap mengancam pasukan yang bertugas di Gaza. – REUTERS

.

- Advertisement -