
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menyelar tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang disifatkan campur tangan dalam isu berkaitan umat Islam.
Ini berikutan tindakan Naib Pengerusi DAP itu membantah cadangan memperluaskan larangan penjualan arak di kawasan majoriti Islam di Ipoh, Perak termasuk Ulu Chepor, Rapat Setia dan Kampung Sungai Rokam.
Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menegaskan bahawa isu itu tidak sepatutnya menjadi medan polemik dengan keharmonian kaum juga perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam, terutama apabila arak dijual berhampiran kawasan majoriti penduduk Islam.
Menurutnya, larangan penjualan arak di kawasan majoriti Islam sudah lama dilaksanakan dengan baik di negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan.
“Di negeri-negeri itu, arak hanya dijual di premis tertentu yang memenuhi syarat undang-undang, tanpa menimbulkan sebarang masalah kepada masyarakat bukan Islam.
“Pengalaman ini menunjukkan masyarakat bukan Islam di negara kita cukup matang untuk memahami dan menghormati budaya serta sensitiviti umat Islam. Tidak perlu isu ini diperbesarkan sehingga menjejaskan keharmonian kaum,” katanya dalam satu kenyataan media.
Nuridah turut mengingatkan bahawa Malaysia mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi dan prinsip ini perlu dihormati oleh semua pihak sambil menegaskan bahawa keharmonian sebenar terletak kepada sikap saling menghormati.
“Bukan memaksa umat Islam menerima sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama di kawasan majoriti penduduk Islam,” ujar bekas Ahli Dewan Negara itu.
Beliau juga menggesa semua pihak, termasuk pemimpin seperti Kor Ming, untuk tidak menyentuh isu sensitif ini di bawah alasan perpaduan kaum.
“Adalah lebih baik fokus diberikan kepada perkara yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan, tanpa mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam,” katanya.
Beliau berkata, cadangan larangan penjualan arak ini jika dilaksanakan, diyakini akan membantu memastikan keharmonian dan sensitiviti agama di kawasan yang terlibat terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 28/1/2025











