Bangkit, bantah rancangan Trump dalam isu Gaza!

Seruan kepada umat Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang bertindak meminta Mesir dan Jordan menerima dan mengambil penduduk Gaza berpindah ke negara tersebut bukanlah satu penyelesaian baik.

- Advertisement -

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, tindakan itu juga dilakukan dengan tergesa-gesa tanpa melalui perbincangan dengan pihak-pihak yang sewajarnya.

“Rakyat Gaza dan Palestin pasti tidak dapat menerima cadangan tersebut kerana ia tidak menghormati hak dan maruah mereka sebagai bangsa yang terlibat secara langsung dalam konflik di Asia Barat ini.

“Rancangan itu seakan-akan melanggar garis merah yang tidak boleh dimaafkan, dan sekiranya diteruskan, Trump akan bermain dengan api yang dapat mencetuskan ketegangan lebih besar di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, cadangan Trump yang bertujuan untuk ‘clean out’ atau ‘membersihkan’ Gaza itu jelas menunjukkan pemikiran yang tidak bertamadun, malah diracuni dengan ideologi Zionis yang berbahaya.

“Sebarang bentuk penyelesaian terhadap konflik ini mesti melibatkan pihak yang terlibat secara langsung, terutama rakyat Gaza dan Palestin, dan tidak boleh mengabaikan suara mereka,” ujarnya.

Justeru, Dr Mohd Roslan menyeru umat Islam untuk bangkit bagi membantah rancangan tersebut serta memantau setiap langkah yang diambil oleh Trump dalam menyelesaikan isu tersebut.

“PUM menyeru seluruh dunia Islam untuk bangkit membantah rancangan ini dan memantau dengan teliti setiap langkah yang akan diambil oleh Trump sebagai penyelesaian isu di Palestin.

“PUM juga meminta agar umat Islam bermunajat dan berdoa agar negara dan rakyat Palestin dilindungi.

“Penyelesaian damai yang sebenar harus dicari dengan melibatkan semua pihak yang terlibat secara adil, demi kesejahteraan rakyat Palestin dan keamanan dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2025

- Advertisement -