
SAYA merujuk kepada kenyataan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mencadangkan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengekalkan status quo berkenaan jualan arak di komuniti majoriti Islam. Adalah perlu untuk menegaskan beberapa perkara yang wajar diberi perhatian demi kepentingan masyarakat secara keseluruhan seperti berikut:
Definisi Status Quo: Status quo yang dimaksudkan selama ini adalah ketiadaan lesen untuk jualan arak di kawasan majoriti Muslim, satu amalan yang sudah lama dipraktikkan oleh banyak PBT di seluruh negara. Pendekatan ini menghormati sensitiviti agama, budaya, dan norma masyarakat setempat, khususnya bagi menjaga keharmonian antara komuniti.
Tidak ada keperluan untuk mengubah dasar yang telah terbukti berkesan dan diterima oleh rakyat.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberikan kuasa yang diiktiraf oleh undang-undang untuk membuat keputusan berkaitan hal ehwal pentadbiran di kawasan masing-masing, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Berdasarkan Seksyen 101 Akta 171, PBT mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kecil bagi memenuhi keperluan tempatan, termasuk dalam aspek pembangunan, perkhidmatan, dan pengurusan komuniti.
Sebarang campur tangan luar, khususnya dalam isu sensitif seperti agama, boleh dilihat sebagai pelanggaran prinsip pembahagian kuasa yang ditetapkan oleh undang-undang ini. Campur tangan yang tidak mengikut lunas perundangan juga bertentangan dengan Seksyen 95 Akta 171, yang memperuntukkan bahawa arahan kerajaan negeri kepada PBT mesti bersesuaian dengan keperluan tempatan dan tidak boleh melanggar autonomi asas mereka.
Peraturan dan undang-undang di PBT adakah berdasarkan bidang kuasa kerajaan Negeri dan ia tidak boleh dilanggari sesuka hati termasuk Menteri kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau mana-mana pihak lain tidak mempunyai locus standi untuk secara langsung mengubah atau mengganggu peraturan yang telah ditetapkan oleh PBT tanpa merujuk kepada keperluan undang-undang atau konteks tempatan yang sah.
Kuasa PBT ini adalah penting untuk memastikan keputusan PBT kekal relevan dan responsif kepada komuniti setempat, selaras dengan Akta 171.
Kepentingan Keharmonian dan Pengamalan Agama Islam:
Larangan jualan arak di kawasan majoriti Muslim bertujuan untuk memastikan masyarakat Muslim tidak terdedah kepada perkara yang bertentangan dengan ajaran agama.
Ini sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, yang dipelihara dalam Perlembagaan Malaysia. Tambahan pula, jika peraturan ini tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat bukan Muslim, mengapa perlu ada kebimbangan untuk mencampuri urusan ini?
Keutamaan Menteri KPKT: Sebagai seorang Menteri, fokus utama sepatutnya diberikan kepada isu-isu yang lebih mendesak, seperti pembangunan infrastruktur di kawasan PBT, khususnya di luar bandar.
Masalah seperti pengurusan sisa yang tidak cekap, jalan raya yang berlubang, perparitan yang lemah, dan kekurangan kemudahan asas adalah isu yang lebih memerlukan perhatian.
Campur tangan dalam isu jualan arak hanyalah membuang masa dan tidak relevan dengan tugas utama seorang Menteri KPKT.
Persoalan Terhadap Keutamaan Menteri: Kenyataan ini menimbulkan persoalan besar: Mengapa Menteri memilih untuk memberi perhatian kepada isu yang melibatkan sensitiviti agama Islam, sedangkan tugas hakiki beliau adalah untuk membangunkan kawasan PBT?
Apakah ia mencerminkan lagi bahawa Kerajaan Persekutuan hari ini terus dilanda kegagalan memberi keutamaan isu rakyat apabila Menteri seperti ini terus berada dalam kabinet kerajaan.
Pemimpin yang baik adalah mereka yang memberikan tumpuan kepada penyelesaian isu-isu kritikal yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Saya menggesa Menteri untuk menilai semula keutamaan beliau dan mengalihkan fokus kepada isu pembangunan infrastruktur dan keperluan asas yang lebih kritikal.
Hormatilah sensitiviti agama dan budaya masyarakat setempat serta autonomi PBT dalam membuat keputusan.
Tindakan ini bukan sahaja akan mengembalikan kepercayaan rakyat tetapi juga memastikan keharmonian dan kesejahteraan semua pihak terpelihara.
AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik – HARAKAHDAILY 28/1/2025











