
KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming tidak sesuai menjadikan Khalifah Umar Al-Khattab sebagai contoh dalam pentadbirannya, sebaliknya lebih patut isytiharkan Joseph Stalin sebagai idola.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana Stalin memang dikenali sebagai pemimpin diktator yang diketahui menggalakkan rakyatnya meminum arak.
“Cadangan saya, jika YB Menteri tidak faham tentang hasrat polisi menghadkan jualan arak di tempat majoriti Muslim, lebih baik diam.
“Kalau mahu pro kepada penjualan arak di lokasi majoriti Muslim, tidak perlulah umum mahu contohi Khalifah Umar Al-Khattab, sama sekali tak sesuai.
“YB Menteri lebih sesuai isytiharkan Joseph Stalin sebagai idola. Stalin memang dikenali sebagai pemimpin diktator yang diketahui menggalakkan rakyatnya minum arak.
“Dia dikatakan mempromosikan vodka sebagai simbol nasional dan sumber pendapatan negara melalui cukai alkohol. Stalin juga salah seorang pemimpin Parti Komunis Kesatuan Soviet,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyifatkan kenyataan dan tindakan Ahli Parlimen Teluk Intan tersebut saling bertentangan daripada prinsip dan nilai ditegakkan Khalifah Umar terutama berkaitan syariat Islam.
Menurutnya, Umar RA dalam pentadbirannya tegas menangani peminum arak sehingga meningkatkan hukuman daripada 40 kepada 80 sebatan, sekali gus mengingatkan Nga menghentikan kenyataan ‘idola kosmetik’ itu.
Kor Ming sebelum ini berkata, kementerian komited untuk mencapai kecemerlangan pada tahun ini melalui penerapan konsep nilai Greater Heights.
Konsep itu katanya, menekankan elemen penting seperti integriti, mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Al-Khattab dan Khalifah Umar Abdul Aziz dalam pentadbiran serta semangat kerja keras dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab.
Menteri itu kelmarin menyarankan pihak berkuasa tempatan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Kor Ming berkata, ketetapan berkenaan bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.
Media sebelum ini melaporkan, Majlis Bandaraya Ipoh bercadang untuk memperluaskan larangan penjualan arak atau minuman keras secara runcit dan borong di kawasan dengan majoriti penduduk Melayu beragama Islam di pentadbirannya. – HARAKAHDAILY 28/1/2025











