
DHAKA: Perkhidmatan kereta api dibatalkan di seluruh Bangladesh selepas kakitangan melancarkan mogok menuntut pencen yang lebih tinggi dan faedah lain, sekali gus menjejaskan puluhan ribu penumpang dan pengangkutan barang, hari ini.
Pemangku Presiden Kesatuan Pekerja dan Kakitangan Kereta Api Bangladesh, Saidur Rahman berkata, mogok itu diadakan selepas pertemuan dengan kerajaan yang diketuai oleh Muhammad Yunus semalam gagal mencapai persetujuan.
Sehubungan itu, katanya mogok itu akan berterusan selama-lamanya jika kerajaan tidak menerima tuntutan mereka.
Mogok menyebabkan Stesen Kereta Api Kamlapur, di ibu negara dikerumuni ratusan penumpang yang kecewa selepas tidak mengetahui tindakan itu apabila ramai yang menunggu berjam-jam sebelum bertindak pulang.
Seorang penumpang, Mohammed Nadim terkandas di stesen itu selepas menempuh perjalanan ratusan kilometer semalaman untuk sampai ke Dhaka bagi bercuti di daerah pantai selatan, Cox’s Bazar.
“Saya datang ke sini pada jam 5:30 pagi dari luar Dhaka. Namun, selepas satu jam atau lebih, saya mendapat tahu bahawa kereta api tidak akan bergerak.
“Sekarang saya terkandas di sini selama berjam-jam tanpa sebarang harapan. Pegawai stesen memberitahu saya wang tiket akan dibayar balik, tetapi saya tidak tahu bila,” katanya.
Sistem kereta api yang dikendalikan kerajaan itu membawa kira-kira 65 juta penumpang setahun, dengan kira-kira 25,000 kakitangan mengendalikan rangkaian landasan lebih 36,000 kilometer. – AGENSI











