Taufan Al Aqsa dan impak kepada pembebasan tanah Isra’

- Advertisement -

HARI ini masuk seminggu gencatan senjata perang tanah suci Palestin yang dijenamakan oleh al Qassam sebagai Taufan al Aqsa, yang telah berlangsung selama 15 bulan. 

Serangan nekad pejuang-pejuang Islam untuk mengembalikan semula kemuliaan tanah kiblat pertama umat Islam setelah pencerobohan biadab Zionis kepada Masjidil Aqsa dengan usaha gencar mereka untuk membangunkan kuil Sulaiman. Tidak lelah, tiada ketakutan, dengan operasi kumpulan elit al Qassam seperti memberi isyarat kepada dunia, Israel bukanlah terlalu kuat untuk dikalahkan dan tahun 2027 sebagai unjuran untuk pembebasan total bumi barokah ini. 

Kontradik dengan sejarah Perang Arab – Israel Jun 1967, hanya dalam enam hari sahaja tiga buah negara Arab telah tertampar malu oleh Israel. Mesir, Jordan dan Syria hilang 25,000 tentera dengan puluhan ribu yang lain yang  cedera. Hilang pula kedaulatan Wilayah, Sinai, Tebing Barat dan Bukit Golan yang strategik. Memalukan!

- Advertisement -

15 bulan yang getir turut mengheret kesan hiliran yang lain, bukan sekadar mengheret kesakitan di Gaza juga Israel namun turut melibatkan perang Israel dengan Iran, Selatan Lubnan, Yaman serta serangan Israel ke atas Kedutaan Iran di Damsyik.

Sembilan buah negara Eropah bergabung berdepan dengan Yaman yang melancarkan serangan solidariti terhadap Gaza. Buana ini tiba-tiba geger dengan suara kesakitan Yahudi, ketidaktentuan keadaan politik Israel, bantahan awam di seluruh dunia termasuk kebangkitan rakyat Amerika. Perang sengit 15 bulan ini menyaksikan carpet bombing ke atas Gaza meluluh lantak sebahagian besar bangunan di Gaza City, Deir Balah, Rafah, Khan Younis, Jabelieh dan Zaitun. 

Paling dahsyat ialah Jabalieh di Utara Gaza yang dicadangkan untuk perluasan wilayah Israel. Kelmarin, puluhan ribu warga asal Jabalieh yang mengungsi ke Rafah mula kembali ke daerah leluhur mereka. 

Perang 15 bulan ini telah mensyahidkan 45,250 orang warga Gaza, 107,627 orang tercedera (data pada 22 Disember 2024) serta lebih sejuta orang hilang kediaman namun kota ini berselimut angin semilir yang mewangi darah syuhada. Perang ini telah mensyahidkan Sheikh Ismail Haniyeh, Yahya Sinwar, Hasan Nasrallah dan pejuang-pejuang yang lain. 

Tiada istilah untuk berpaling tumit, tiada rasa kesal kerana kehilangan anggota keluarga kerana warga tanah berkah ini memahami seni kematian dan apa tujuan dan citra kehidupan. Menurut Komander Briged al Qassam, perang ini tiada noktah sehinggalah dibebaskan setiap inci tanah Palestin sebagaimana matlamat Kataib Al Qassam ditubuhkan pada tahun 1987.

Israel mendapat tentangan terhebat semenjak entiti haram ini ditubuhkan pada 1948 di atas tanah Palestin. Ribuan soldadu mereka dihumban ke neraka, menggeletak sebelum nyawa terpisah. Belum sempat kaki mereka memijak tanah Gaza, kereta kebal Merkava mereka dihentam hancur oleh senjata ‘cap ayam’ pejuang al Qassam. Segalanya di luar upaya fikir gembong-gembong tentera Zionis sehingga  mereka mengatakan  adakah Tuhan Nabi Harun dan Tuhan Nabi Musa telah tidak bersama mereka!

Sejumlah 1,300 kenderaan besi kereta kebal canggih Merkava telah dihancurkan oleh pejuang-pejuang Palestin di mana secara purata lapan anggota IDF menempati sebuah kenderaan Merkava. 

Dalam tempoh 15 bulan ini, darah penzalim serta dayus terus berkubang dan pelbagai cuplikan video menunjukkan guratan wajah ketakutan tentera Zionis, Israel digempur peluru sehingga ke Tel Aviv, Ashdod, Lapangan Terbang Ben Gurion dan lain-lain lokasi. 

Siren kecemasan terus berbunyi dan pusat-pusat perlindungan terus dipadati manusia sombong yang disokong oleh rangkaian kuasa besar itu. Roket-roket al Qassam mengenai tepat pada loji senjata nuklear di Tel Aviv. Sedikit sahaja terkalih daripada sasaran, jika sasaran itu tepat, Tel Aviv akan mempunyai kawah besar paling ngeri dalam sejarahnya. 

Ratusan ribu warga negara haram itu telah berpindah keluar kerana tidak tahan menanggung tekanan, ketakutan serta depresi termasuk anggota IDF yang mengalami gangguan mental. 

15 bulan yang berdarah ini juga mengejutkan nurani di mana munculnya bantahan awam bak cendawan tumbuh di pelbagai belahan dunia tanpa mengira agama, ideologi dan etnik. 

Serangan rambang Israel di atas nama colateral damage bungkam rasa manusiawi. Kerosakan pada bangunan-bangunan pejabat kerajaan serta rumah-rumah kediaman termasuk gereja ketiga tertua di dunia turut menjadi puin-puin berserakan. Binatang Israel melanggar konvensyen Geneva, juga melanggar protokol keselamatan PBB, tiada yang mampu menghalang mereka melainkan penjajahan ke atas tanah berkah ini wajib ditamatkan. 

Amerika menjadi adijagat yang melindungi negara haram Yahudi, dengan dibantu oleh negara-negara munafik Arab!

Serangan rejim berterusan dan kematian terus meningkat tanpa menghiraukan bantahan dunia. Jumlah tan metrik bom yang digugurkan ke atas bumi Gaza, berlipat kali ganda daripada bom atom yang digugurkan di Nagasaki dan Hiroshima pada tahun 1945. 

Justeru, tidak pelik jika seluruh dunia bangkit menentang pembantaian Gaza termasuk oleh kelompok Yahudi Ortodok. 

Kejengkelan awam kepada kuasa adijagat Amerika terserlah dengan berlakunya kebakaran hutan skala besar di kawasan kediaman mewah Pacific Palisades, Los Angeles, California awal Januari ini apabila komentar awam mengaitkan mala petaka ini dengan bantuan Amerika kepada Zionis. 

Karma yang melanda sang angkuh itu masih lagi berusaha memadamkan api yang membaham lahan mereka dengan kerugian bertrillion dollar malah lima kali ganda kos membangunkan kembali keseluruhan Gaza.

Kesombongan Trump diejek oleh masyarakat dunia, bahkan pasti polisi Amerika selama ini menyokong Israel akan memicu kemarahan dunia. 

Naratif kezaliman Israel cuba dilunakkan bahasa oleh agensi berita antarabangsa yang dikawal oleh Zionis. Mereka mengekang media sosial agar kezaliman tidak terungkap, bahkan pelbagai tindakan dibuat untuk mengekang kesedaran Muslim seperti halangan bertakbir dan membaca Qunut Nazilah. 

Segala simbol kebangkitan Palestin dilarang daripada dipaparkan seperti yang berlaku di Arab Saudi, Mesir dan lain-lain negara Arab yang pro-Israel. 

Kezaliman cuba dirabunkan, walhal di kalangan yang syahid terdapat ribuan kanak-kanak, orang tua dan wanita. Tidak terkecuali, pelbagai bangunan perlindungan awam yang sepatutnya dijamin akan keselamatannya, telah turut dimusnahkan. 

Al Qassam, sayap tentera HAMAS dan Jihad Islam minggu ini memicu perhatian antarabangsa apabila mempamerkan kekuatan mereka setelah 15 bulan yang panjang. Ribuan anggota elit mereka muncul dengan perang saraf yang terbaik. Visual lima orang anggota wanita IDF yang gelak dengan guratan wajah ceria di atas pentas sangat kontradik dengan kondisi tawanan-tawanan Palestin oleh tentera penzalim. 

Ianya gambaran kemuliaan Islam yang mengajar kita etika peperangan. Nabi SAW telah mengajar bagaimana tawanan perang wajib dilayani dengan baik. 

Mesej yang ingin disampaikan kepada dunia adalah bahawasanya perjuangan Palestin ini tidak kalah, bahkan mereka muncul dengan kader-kader baru berani mati yang dilatih secara agresif oleh Muhammad Sinwar, adik  as-syahid Yahya Sinwar. 

Kontradiknya, tentera Israel sedang mengalami tahap titik moral paling rendah apabila ramai petinggi tentera mulai meletakkan jawatan. 

Kesimpulannya untuk perang panjang 15 bulan ini, umat Islam sewajibnya dikerahi untuk menggalang dana, melantunkan munajat serta doa, menggerakkan kempen kesedaran peduli Gaza serta membantu umat Islam Palestin yang sedang berkubang darah mempertahankan kiblat pertama umat Islam.

Penduduk Gaza membayar harga  yang sangat mahal, kerana merekalah benteng kepada keselamatan Masjid Aqsa, seperti kata Abu Ubaidah, “simpan wudukmu teman-teman, untuk kita sama-sama solat berjemaah di Masjidil Aqsa”. 

Insya-Allah, tanah israk ini akan dimerdekakan!

DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 
Anggota Misi Bantuan Tanpa Sempadan – HARAKAHDAILY 28/1/2025

- Advertisement -