
KUALA LUMPUR: Masyarakat diseru agar tidak terperangkap dengan sikap menilai sesuatu perkara berdasarkan siapa yang menyampaikan, sebaliknya memberi tumpuan kepada kebenaran dan isi kandungan disampaikan.
Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, manusia sering terperangkap dengan penilaian zahir semata-mata, yang akhirnya membawa kepada keangkuhan dan menutup hati daripada menerima kebenaran.
“Sikap seperti ini membawa kita kepada keangkuhan, misalnya apabila seseorang berkata, ‘Aku lebih banyak pengalaman hidup, aku lebih dahulu makan garam daripada kamu’.
“Memang betul pengalaman itu ada nilainya, tetapi dalam ajaran agama, kita dituntut untuk mendengar isi yang disampaikan, bukan menilai berdasarkan usia atau kedudukan seseorang.
“Jangan disebabkan seseorang itu lebih muda, kita menolak pendapatnya mentah-mentah dengan berkata, ‘Ah, apa sangat yang dia tahu’.
“Hakikatnya, pandangan orang muda sering kali membawa hikmah yang tidak dijangka,” katanya dalam media sosial miliknya.
Kisah Singapura dilanggar todak
Mohd Amar turut mengaitkan legenda Singapura Dilanggar Todak sebagai contoh bagaimana pandangan seorang remaja mampu menyelesaikan masalah besar.
“Ketika itu, rakyat Singapura dikejutkan dengan serangan todak yang melompat ke pantai dan mencederakan ramai orang. Pada mulanya, raja dan pembesarnya memutuskan agar rakyat berdiri di pantai untuk menahan todak dengan betis mereka. Arahan ini diterima tanpa soal, namun hasilnya ramai yang cedera parah, malah ada yang meninggal dunia.
“Di tengah kekalutan itu, muncul seorang remaja bernama Hang Hadim, dengan bijaknya, dia mencadangkan agar mereka menggunakan batang pisang sebagai penghadang.
“Cadangan ini pada mulanya kedengaran remeh, tetapi setelah difikirkan, ia jauh lebih masuk akal. Rakyat pun menebang batang pisang, menjadikannya benteng, dan hasilnya todak tidak lagi mencederakan sesiapa.
“Singapura terselamat daripada ancaman tersebut, dan tindakan itu membuktikan kebijaksanaan seorang remaja yang jauh mendahului usia,” ceritanya.
Pengajaran daripada sejarah para Nabi
Selain itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelangan itu turut menekankan bahawa sejarah dakwah para Nabi mengajarkan betapa pentingnya menilai kebenaran berdasarkan isi, bukan melihat siapa yang menyampaikannya.
“Para pembesar dan pemimpin sering bersikap angkuh, memandang rendah kepada para nabi yang mereka anggap tiada kedudukan, kekayaan, atau kuasa.
“Sedangkan hakikatnya, wahyu yang dibawa oleh nabi-nabi itu adalah kebenaran yang datang daripada Allah, yang sepatutnya diterima dengan akal yang terbuka dan hati yang ikhlas.
“Mereka menegaskan, ‘Kalau kita ikut manusia biasa seperti ini, kita pasti rugi’. Mereka cuba menidakkan para Nabi dengan cara yang halus.
“Mereka tidak menyerang isi kandungan dakwah itu sendiri, kerana hakikatnya mereka tahu ia benar. Sebaliknya, mereka mencari kelemahan pada sisi luar Nabi itu sebagai manusia. ‘Orang ini sama sahaja dengan kita. Apa kelainannya?’
“Mereka menghina dan mempersoalkan kredibiliti nabi semata-mata kerana nabi itu manusia biasa, makan dan minum seperti mereka, hidup di tengah-tengah masyarakat, bercakap bahasa yang sama,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa para Nabi diutuskan sebagai manusia biasa untuk menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat.
“Mereka membuktikan bahawa kebenaran boleh disampaikan oleh seorang manusia biasa, tanpa memerlukan keajaiban luaran yang melampau.
“Apa yang membezakan mereka ialah wahyu dan petunjuk yang diberikan oleh Allah, serta akhlak dan keperibadian mulia yang menjadi contoh kepada umat,” jelasnya.
Namun begitu, Mohd Amar menegaskan bahawa golongan pembesar menggunakan taktik penghinaan untuk menutup hati orang ramai daripada menerima seruan para Nabi.
“Sikap mereka ini mencerminkan keangkuhan yang enggan menerima kebenaran. Mereka merasa terancam dengan dakwah nabi yang menyeru kepada keadilan dan keinsafan, kerana ia akan menggugat kedudukan dan kemewahan yang mereka nikmati,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2025











