‘Apakah maksud Madani kalau bela perasuah?’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pentadbiran hari ini tidak mengamalkan prinsip yang sama seperti era Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), di mana pemimpin yang terbabit dengan skandal diminta berundur dan didakwa di mahkamah. 

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali mempersoalkan ketelusan pentadbiran Kerajaan Madani dalam menangani isu rasuah dan salah laku pemimpin. 

“Jika kita ingat zaman Tun M, ramai Menteri-menteri dipecat bila ada terbabit pelbagai skandal termasuk rasuah dan salah laku.

“Tan Sri (TS) Muhamad Taib, TS Kasitah Gaddam, TS Rahim Thamby Chik, TS Osu Sukam, dan ramai lagi. Mereka semua diminta berundur dan ada didakwa.

“Berbeza dengan zaman Madani sekarang ni, ketuanya cakap tak serupa bikin. Dulu sampai sekarang bercakap pasal tolak rasuah. Tuduh orang bilion-bilion mencuri duit rakyat.

“Tapi yang ada skandal itulah diangkat tinggi kedudukan bawah Kerajaan Madani. Apakah itu maksud Madani? Membela perasuah?” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau turut mempersoalkan pelantikan individu yang pernah menghadapi pendakwaan ke jawatan penting, serta dakwaan pembelian Ahli Parlimen pembangkang melalui pemberian kontrak bernilai ratusan juta ringgit. 

Selain itu, Syed Hasan berkata, pada zaman mereka menjadi pembangkang dahulu, semua projek tidak dibenarkan menggunakan rundingan terus dan perlu melalui tender terbuka.

“Terbuka ke sekarang? Dulu sakit telinga kita dengar mereka bisingkan skandal LCS, tapi bila memerintah makin ‘support’ dengan tambahan kontrak tetapi jumlah kapal dikurangkan. Sampai sekarang satu kapal pun tak siap-siap lagi. Tak siasat apa-apa pun.

“Kalau dulu mereka galakan mahasiswa bangkit lawan rasuah, mengapa sekarang bila mahasiswa nak bangkit lawan rasuah, dihalang pula dengan pelbagai ugutan. Macam-macam syarat pula kalau nak berhimpun sedangkan Akta Himpunan Aman mudah sahaja nak dijalankan,” persoalnya.

Beliau turut membangkitkan isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikatakan menjual saham mereka di Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada harga murah, tetapi membelinya semula pada harga jauh lebih mahal.

“Tiada siasatan dijalankan? Tiada salah laku? Siapa yang membeli pada harga murah itu, dan siapa pula yang menjual kembali kepada KWAP (Kumpulan Wang Persaraan) pada harga mahal? Ini jelas merupakan satu kerugian kepada pencarum,” persoalnya lagi.

Beliau mempersoalkan mengapa Perdana Menteri ke-10 (PMX) tidak mengarahkan siasatan segera dan telus terhadap isu tersebut.

“Apakah PMX ok saja dengan skandal tersebut? PERKASA percaya majoriti besar rakyat melihat dengan jelas pemimpin-pemimpin Kerajaan Madani sekarang inil sudah terang lagi bersuluh. Tapi PMX buat tak nampak sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -