Hormati hak kepenggunaan Muslim di tempat majoriti penduduk Muslim

- Advertisement -

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَیۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسࣱ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّیۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (90) إِنَّمَا یُرِیدُ ٱلشَّیۡطَـٰنُ أَن یُوقِعَ بَیۡنَكُمُ ٱلۡعَدَ ٰ⁠وَةَ وَٱلۡبَغۡضَاۤءَ فِی ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَیۡسِرِ وَیَصُدَّكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِۖ فَهَلۡ أَنتُم مُّنتَهُونَ (91) }

- Advertisement -

“Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” [Surah Al-Māʾidah: 90-91]

Syariat Islam melarang Islam dilarang keras mengambil apa-apa bahan yang memabukkan, antaranya ialah minuman keras.

Bahkan larangan ini dipertegaskan dengan laknat yang menimpa ke atas individu yang berkaitan dengan minuman keras, sekalipun dia tidak meminumnya.

Diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Rasulullah صلى الله عليه وسلم melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: 

1. Pemerah (anggur untuk arak), 

2. Orang yang minta diperahkan, 

3. Peminumnya, 

4. Pembawanya

5. Orang yang meminta bawa kepadanya, 

6. Orang yang menuangkan arak,

7. Penjualnya, 

8. Orang yang makan hasil jualannya, 

9. Orang yang membelinya 

10. Orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya (nombor: 1295))

Laknat bermaksud kecelakaan dan jauh daripada rahmat dan belas kasih sayang Allah SWT.

Bagi kefahaman Nga Kor Ming, laknat ini boleh diumpamakan seperti pesimisme atau pantang larang masyarakat Cina bukan Muslim, contohnya berkenaan nombor 4.

Sebagaimana orang Cina bukan Muslim mempunyai ajaran dan pantang larang yang dipatuhi, begitu jugalah dengan orang Islam.

Islam tidak melarang orang bukan-Islam untuk makan dan minum apa-apa yang mereka suka, selagimana tidak membawa kepada kemudaratan kepada masyarakat awam.

Kemudaratan itu contohnya, seorang bukan Muslim minum arak sampai mabuk lalu memandu sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian orang awam.

Perkara ini perlu dicegah dan dia tidak boleh berdolak dalih dengan alasan orang lain tidak berhak untuk menghalangnya daripada mengambil alkohol yang memabukkan.

Sekiranya seorang bukan Muslim mahu minum dalam kadar yang tidak memudaratkan dirinya dan orang lain, maka terpulanglah pada dirinya.

Isu berkaitan dengan larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Muslim ini sebenarnya melibatkan ajaran Islam yang melaknat apa-apa perkara yang bersangkutan dengan arak.

Terdapat rangkaian kedai runcit serbaneka yang menjual arak.

Namun apa tujuan arak dijual di kedai yang dibuka di penempatan orang Islam ataupun majoriti orang Islam?

Lebih berat lagi, orang Islam yang bekerja di kedai tersebut yang dipaksa untuk mengangkat dan menyusun botol dan tin arak yang dijual di kedai yang berada dalam kawasan orang Islam.

Sekiranya orang Cina bukan-Islam amat pantang dengan nombor 4, begitu jugalah orang Islam amat pantang dengan arak yang dilaknat oleh syariat Islam. 

Namun begitu, orang Islam tidak pernah menghalang apatah lagi melarang orang bukan-Islam untuk membeli dan meminum arak.

Sekiranya penduduk minoriti bukan Muslim di penempatan tersebut mahu membeli arak, maka mereka boleh mendapatkannya di kedai atau pasaraya berdekatan yang ada menjual arak.

Hanya kerana ada beberapa buah rumah bukan Muslim di kampung Melayu Muslim, adakah demi menjaga hak mereka maka kedai runcit serbaneka itu perlu mengorbankan hak pekerja Muslim dan penduduk majoriti Muslim yang memandang arak sebagai suatu yang dilaknat?

Isunya samalah juga dengan nombor 4, kenapa tidak dilakukan perkara yang sama?

Adakah mereka bersetuju demi meraikan orang bukan Cina yang tidak sensitif dengan nombor 4 maka perlu dikembalikan segala nombor 4 yang dihilangkan yang telah digantikan dengan nombor 3-b?

Isu yang dibangkitkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini susulan tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mahu memperluaskan pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi.

Sekitar tahun 2020 dan 2021, larangan penjualan minuman keras itu sudah dilaksanakan di kawasan Gugusan Manjoi dan ada kelompok penduduk di kawasan majoriti Melayu di tempat lain yang mendesak penguatkuasaan larangan penjualan arak seperti di Ulu Chepor yang merupakan kawasan 100 peratus penduduk Melayu Islam.

Secara keseluruhannya, Ipoh merupakan kawasan campuran.

Masih terdapat banyak kedai yang menjual arak di sekitar Bandaraya Ipoh.

Kesimpulannya, dasar sekatan penjualan arak di kawasan Muslim dan majoriti Muslim yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh seharusnya disokong, dipertahankan dan diperluaskan di seluruh Malaysia.

USTAZ MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN
Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 26/1/2025

- Advertisement -