
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya merakamkan ucapan tahniah kepada penduduk Kampung Setia Jaya selepas berjaya memperoleh pengiktirafan sebagai peneroka asal melalui keputusan penghakiman 3-0 di Mahkamah Rayuan.
Beliau berkata, keputusan tersebut sekali gus mengenepikan penghakiman yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Kemenangan tersebut sebagai hasil kesabaran penduduk yang gigih mempertahankan hak mereka, dibantu oleh pasukan peguam berdedikasi sehingga berjaya membawa Tunku Abdul Rahman University College (TARUC) kembali ke meja rundingan.
“Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada semua pejuang tanah di Wilayah Persekutuan agar terus berusaha menegakkan kebenaran,” katanya kepada Harakahdaily.
Terdahulu berdasarkan laporan oleh media dalam talian, NRChannelTV, perkara tersebut diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang sebulat suara memutuskan bahawa penduduk Kampung Setia Jaya mempunyai hak ke atas tanah yang mereka diami sejak sekian lama.
“Dengan keputusan tersebut, TARUC gagal mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mengarahkan pengusiran penduduk kampung berkenaan.
“Laporan turut menyebut penduduk kini berjaya menarik TARUC ke meja perundingan bagi mencari penyelesaian menang-menang, sekali gus dilihat sebagai peluang untuk meredakan konflik antara kedua-dua pihak.
“Suasana di kampung tersebut bertukar penuh emosi, dengan ramai penduduk, termasuk golongan tua, menitiskan air mata kegembiraan sejurus keputusan diumumkan,” ujarnya.
NRChannelTV turut menyifatkan kemenangan ini sebagai satu sinar harapan oleh penduduk untuk terus memperjuangkan hak mereka sebagai peneroka bandar.
Keputusan Mahkamah Rayuan ini dijangka membuka ruang kepada perbincangan lebih adil bagi memastikan kebajikan penduduk Kampung Setia Jaya terus terjamin.- HARAKAHDAILY 23/1/2025












