Belian padi rendah: Lebih 4,000 pesawah terkesan

- Advertisement -

SUNGAI BESAR: PAS Selangor bersimpati dengan nasib lebih 4,000 pesawah di sini yang terkesan teruk akibat harga belian padi yang rendah sekitar RM1,400 setan, sekali gus mengancam kelangsungan hidup mereka.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Ustaz Mohd Razali Saari berkata ramai pesawah berisiko gulung tikar jika isu ini berterusan, terutama menjelang musim menuai yang akan tiba tidak lama lagi.

“PAS Selangor mengalu-alukan usaha Kerajaan Selangor yang sedang mencari penyelesaian untuk isu harga belian padi walaupun tindakan tersebut agak lambat.

“Sebagai negeri yang menjadi antara pengeluar utama padi di Malaysia, adalah penting untuk Kerajaan Selangor mengambil langkah proaktif dalam membantu lebih 4,000 pesawah di Sungai Besar, Sabak Bernam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Rabu.

Beliau berkata, Ketua Petugas Khas Pemantauan kepada Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) merangkap Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilihat gagal memberikan penyelesaian konkrit walaupun cuba menjadi hero dengan mengkritik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Cadangan menyerahkan kawalan padi dan beras kepada NACCOL menimbulkan kerisauan berdasarkan rekod buruk NACCOL sebelum ini terutama dalam isu beras putih Madani.

“Di peringkat persekutuan, Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja jelas gagal melaksanakan janji untuk memulihkan bekalan beras tempatan. 

“Lebih mengecewakan, beras tempatan ini hanya diperoleh semasa Jualan Rahmah, seolah-olah wujud agenda tertentu yang mengawal akses rakyat kepada bekalan beras tempatan,” katanya.

Mohd Razali berkata, pendapat dangkal Mohamad Sabu berkenaan harga belian padi pula hanya menampakkan betapa nasib pesawah padi tidak diambil peduli.

“Adakah hanya sekadar itu peranan yang dimainkan oleh seorang Menteri dan Ahli Parlimen yang diberi tanggungjawab besar untuk menjaga industri makanan negara?” katanya.

Justeru, PAS Selangor menegaskan isu itu memerlukan penyelesaian tuntas oleh semua pihak untuk melindungi nasib pesawah, maka penambahbaikan segera dalam dasar berkaitan padi dan beras mesti dilaksanakan.

“Antara langkah yang boleh diambil adalah campur tangan kerajaan negeri dengan menyediakan insentif, sama ada dalam bentuk wang tunai atau hadiah lain bagi menghargai pesawah yang komited meningkatkan pengeluaran padi.

“Langkah ini bukan sahaja dapat meringankan beban pesawah tetapi juga memberi galakan kepada mereka untuk terus meningkatkan pengeluaran, sekali gus mengurangkan ketergantungan kepada beras import,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2025

- Advertisement -