Pemuda PAS seru ke Himpunan Rakyat Benci Rasuah

Sabtu, 25 Januari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah sebagai tanda solidariti menolak rasuah dan menuntut pentadbiran bersih serta telus pada Sabtu ini, 25 Januari 2025.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, himpunan itu merupakan satu manifestasi hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kebebasan untuk berhimpun secara aman adalah antara ‘tiang seri’ demokrasi serta komponen utama proses semak dan imbang terhadap kerajaan yang memerintah.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab rakyat dan pembangkang untuk memastikan agenda reformasi dan ketelusan terus diperjuangkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Nadzir Helmi berkata, himpunan itu juga melibatkan sokongan daripada pembangkang dan rakyat adalah cerminan sifat responsif dan konsruktif semua pihak demi Malaysia yang lebih cemerlang.

“Hal ini selari dengan kenyataan PMX sendiri yang telah beberapa kali menyatakan pendirian bahawa kerajaan sentiasa terbuka kepada sebarang kritikan dan cadangan untuk kebaikan negara.

“Himpunan ini juga bukan sekadar hak demokratik, tetapi salah satu mekanisme untuk menyuarakan kegelisahan rakyat terhadap isu rasuah yang semakin berleluasa di negara ini,” katanya.

Justeru, Pemuda PAS menuntut agar kerajaan bersikap matang dan menghormati hak rakyat untuk berhimpun tanpa sebarang gangguan atau sekatan yang tidak munasabah. – HARAKAHDAILY 23/1/2025

- Advertisement -