
PADANG BESAR: Sekolah Rendah Islam At-Taqwa (SRIAT) memulakan operasinya bermula tahun 1990 dengan hanya sebuah bangunan kayu kecil yang menampung 40 pelajar.
Kini, ia berkembang menjadi institusi pendidikan yang lebih maju dengan bangunan empat tingkat, hasil usaha pelbagai pihak sejak penubuhannya.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar, Ustaz Yussaine Yahya berkata demikian semasa merasmikan Ihtifal Idul Ilmi kali ke-32 di Dewan Tafaqquh Fiddin, SRIAT, di sini semalam.
“Saya terlibat secara langsung dalam pembinaan bangunan dua tingkat pertama. Kini, di bawah pimpinan Ustaz Azamhari, rumah guru dan bangunan empat tingkat telah terbina.
“Semua ini hasil sumbangan penyumbang, ibu bapa, dan sedikit bantuan dari kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu,” katanya.
Ujarnya lagi, tenaga pengajar di SRIAT bukanlah graduan institut perguruan kerajaan, tetapi mereka mendidik dengan semangat Islam yang tinggi.
“Guru-guru kita bukan dilahirkan secara formal dalam bidang pendidikan, tetapi mereka berjaya melahirkan generasi Al-Quran dan pemimpin yang akan meneruskan perjuangan Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.
Menurut Ustaz Yussaine, sokongan kewangan dan doa memainkan peranan penting dalam memajukan SRIAT.
“Selain doa yang tidak putus-putus, sokongan kewangan amat diperlukan untuk memastikan kelangsungan pendidikan di SRIAT.
“Pendidikan di sini bukan hanya kepada akademik tetapi juga memberi penekanan kepada penghayatan solat dan nilai-nilai Islam,” jelasnya.
Beliau turut memuji kepercayaan ibu bapa terhadap SRIAT, termasuk Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang merupakan seorang pensyarah dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
“Di SRIAT, kita menawarkan sesuatu yang unik – pengajaran Al-Quran, sunnah Nabi Muhammad SAW dan penekanan kepada solat sebagai asas kehidupan.
“Ini menjadikan sekolah kita berbeza daripada sekolah lain,” tambahnya.
Walaupun gaji guru di SRIAT lebih rendah berbanding sekolah lain, Ustaz Yussaine menegaskan keikhlasan mereka dalam mendidik.
“Gaji mungkin tidak setanding usaha mereka, tetapi mereka mendidik kerana yakin dengan tanggungjawab terhadap pendidikan anak bangsa,” katanya.
“Melahirkan pimpinan masa depan bukan sesuatu yang mustahil berkat sokongan doa dan kewangan, SRIAT akan terus maju dan melahirkan generasi Islam yang cemerlang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/1/2025











