Ibu bapa diingat waspada ancaman gajet masa kini

- Advertisement -

PADANG BESAR: Malaysia kini berada di tempat ketiga di dunia dalam isu ketagihan gajet dalam kalangan pelajar, menjadikan ancaman ini semakin membimbangkan.

- Advertisement -

Mudir Sekolah Rendah Islam At-Taqwa (SRIAT), Ustaz Azamhari Mohamood, menasihati ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak agar tidak terlalu bergantung kepada telefon pintar.

Menurutnya, penggunaan gajet harus digantikan dengan penerapan nilai Islam untuk membentuk generasi yang bertanggungjawab dan berakhlak mulia.

“Kita mahu anak-anak bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam sahsiah. Jangan biarkan masa cuti sekolah mereka dihabiskan dengan telefon pintar.

“Malah, ada segelintir pelajar yang masih sekolah rendah pun ada yang sudah memiliki telefon,” katanya semasa ucapan di Ihtifal Idul Ilmi Sekolah Rendah Islam At- Taqwa (SRIAT) kali ke-32, di sini semalam.

Seramai 22 pelajar memperoleh 8A dan lima pelajar memperoleh 7A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 dengan pelajar tahun enam berjaya menghafal juzuk 30 al-Quran, serta menghafal 50 hadis.

Dalam ko-kurikulum, sekolah ini mencatat kejayaan menjadi johan pertandingan nasyid peringkat negeri dua tahun berturut-turut, johan pertandingan tulisan Jawi peringkat negeri, dan mara ke peringkat kebangsaan.

Bidang sukan pula berjaya mara ke peringkat suku akhir dalam kejohanan merentas desa, bola sepak, bola jaring, dan sepak takraw di Majlis Sukan Sekolah Sekolah Perlis (MSSPs).

Majlis dirasmikan Yang Dipertua PAS Kangar, Ustaz Yussaine Yahya dengan turut dihadiri Setiausaha PAS Negeri, Wan Hassan Ismail; Yang Dipertua PAS Padang Besar, Saad Seman dan Ketua Dewan Muslimat PAS Padang Besar, Amnah Abd Rahman.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Negeri, Asrul Aimran Abd Jalil.

Ustaz Azamhari turut mengingatkan ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang berjaya dalam kurikulum dan sahsiah.

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan bersih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mendidik dan membentuk mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2025

- Advertisement -