
SHAH ALAM: Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor menyambut baik pandangan yang disuarakan mengenai keperluan PAS mencapai kemenangan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ia sebagaimana pandangan dinyatakan Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mashitah Mohd Udin kepada sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, rakyat semakin muak dengan sandiwara dan permainan politik parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Masyarakat mula menyedari bahawa parti-parti Melayu Islam yang berada dalam gabungan Kerajaan Campuran PH-BN dilihat membisu sahaja mengenai isu-isu berkaitan DAP.
Beliau menegaskan bahawa PAS, sebagai komponen penting dalam Perikatan Nasional (PN), bertekad untuk memenuhi harapan rakyat.
“PAS akan bekerja keras untuk memimpin Selangor dan Malaysia dengan menitikberatkan kesejahteraan rakyat serta mengembalikan maruah dan kegemilangan bangsa,” ujarnya.
Dewan Muslimat PAS Selangor jelasnya, akan menyediakan barisan kepimpinan wanita yang memenuhi ciri-ciri dan kriteria pemimpin mampan dan berintegriti.
“Komitmen dan dedikasi Muslimat PAS dalam memperjuangkan keadilan, kemakmuran, dan kesejahteraan rakyat adalah tidak ternilai,” kata Wan Hasrina.
Beliau juga menekankan bahawa slogan PAS Selangor, ‘Bakti Demi Selangor’ menjadi tunjang gerak kerja parti dalam merealisasikan matlamat tersebut.
Wan Hasrina melahirkan keyakinan bahawa rakyat menantikan kepimpinan baru dari PN untuk menerajui Kerajaan Selangor dan Kerajaan Malaysia selepas PRU16.
“Semoga Allah SWT meredhai usaha kami dalam memperjuangkan agama, bangsa, dan negara,” tambahnya.
Terdahulu Dr Mashitah menyifatkan pandangan ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi bahawa calon Perdana Menteri (PM) dari PAS adalah perkara yang tidak mustahil.
Menurutnya, walau bagaimanapun, calon PM dari PAS perlu diperkukuhkan dengan ciri-ciri kepimpinan bijak, strategi berkesan dan kerjasama erat bersama pelbagai pihak dalam memimpin negara ini.
“Pandangan (Dr Tengku Muhammad Fakhruddin) logik dan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan. Sekiranya mereka memenangi pilihan raya, memperoleh kepercayaan dan sokongan majoriti, tidak mustahil PM dari PAS.
“Orang Melayu tidak mempunyai pilihan lain selain PAS untuk memilih pada pilihan raya umum akan datang jika sokongan terhadap Umno terus merosot,” katanya dipetik akhbar tempatan itu – HARAKAHDAILY 19/1/2025











