Muslimat harap keamanan berkekalan di Gaza

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustazah Nuridah Mohd Salleh, menyatakan harapan agar gencatan senjata antara HAMAS dan Israel dijadualkan berkuat kuasa 19 Januari ini menjadi kenyataan, dihormati serta diimplementasikan secara berkesan.

Menurut Ketua Muslimat PAS Malaysia itu, perjanjian tersebut memberikan sinar harapan kepada rakyat Palestin yang telah lama bergelut dengan konflik peperangan memeritkan.

Namun, beliau turut mengingatkan bahawa sejarah menunjukkan gencatan senjata bersama Israel sering kali bersifat sementara.

“Oleh itu, harapan kali ini perlu disertai dengan usaha konkrit untuk memastikan keamanan yang lebih kekal,” katanya dalam satu kenyataan.

Ustazah Nuridah turut menyeru negara-negara Arab untuk memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan perjanjian itu.

Beliau menyatakan sokongan diplomatik, politik, dan ekonomi daripada negara seperti Mesir, Qatar, dan Arab Saudi amat diperlukan untuk menjadi perantara yang berkesan.

“Komuniti antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), juga perlu bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar perjanjian ini,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama dan perpaduan antara negara-negara Islam amat penting untuk memastikan tekanan konsisten kepada pihak yang cuba merosakkan keamanan.

Menurut beliau, Islam menekankan bahawa keamanan adalah asas penting dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Oleh itu jelasnya, institusi dunia khususnya badan dakwah dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam, diseru untuk memainkan peranan aktif dalam mendidik masyarakat dunia mengenai keadilan dan keamanan.

“Dalam konteks gencatan senjata, pendidikan mengenai pentingnya mematuhi perjanjian damai boleh membantu membentuk masyarakat yang adil dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan,” katanya.

Ustazah Nuridah turut berharap agar gencatan senjata itu dapat memberi peluang kepada rakyat Gaza untuk membina semula kehidupan mereka.

Beliau menyeru NGO-NGO dan individu prihatin untuk terus menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, psikososial, dan pendidikan.

“Harapan umat Islam adalah agar keamanan dan kesejahteraan dapat dibina segera di bumi Gaza,” katanya.

Beliau menekankan bahawa dengan doa, usaha kolektif, dan komitmen berterusan, gencatan senjata kali ini diharapkan menjadi langkah awal kepada keamanan jangka panjang yang sebenar. – *HARAKAHDAILY 17/1/2025*

- Advertisement -
- Advertisement -