
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan drastik terhadap mana-mana premis menjual produk yang menyalahgunakan label atau logo halal dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, berikutan itu, pihaknya akan membuat pemantauan terhadap premis serbaneka dan lain-lain, termasuk KK Mart di seluruh negeri.
“Jika terdapat berlaku perlanggaran garis panduan yang telah ditetapkan, kita akan mengambil tindakan drastik, termasuk mengarahkan pemberhentian operasi perniagaan,” kata beliau pada hantaran kepada Harakahdaily, hari ini.
Menurutnya, beliau mengambil maklum di atas bantahan beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO)yang mendesak tindakan terhadap KK Mart, berkaitan produk pek ‘sandwic ham & cheese’ mengguna logo halal yang dijual di gerai serbaneka Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
“Kita senada dengan bantahan tersebut dan amat memahami insiden berkaitan sensitiviti serta yang menimbulkan kontroversi umat Islam,” tambah beliau lagi.
Kata beliau, pihaknya akan mengambil tindakan susulan terutama berkenaan bantahan-bantahan tersebut untuk memastikan insiden seperti itu tidak berlaku di Kedah.
Terdahulu, beberapa NGO di Kedah seperti Gabungan Gerak Rakyat Hidupkan Amar Maaruf Hancur Aktiviti Maksiat (GERAHAM) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan tersebut dan mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap KK Mart.
Kenyataan bantahan itu juga turut dikeluarkan oleh pemimpin PAS di pelbagai peringkat.
Insiden itu tercetus apabila pihak UM mengeluarkan kenyataan, memaklumkan arahan penutupan dua premis serbaneka 24 jam berikutan penemuan pek sandwic yang memaparkan label ‘sandwic ham & cheese’ serta keraguan terhadap logo halal produk tersebut. – HARAKAHDAILY 15/1/2025











