Gag order: Lindung institusi diraja atau parti kerajaan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan memandang serius kenyataan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, berkenaan ‘gag order’ berhubung isu semakan kehakiman Titah Adendum oleh Dato’ Sri Najib Razak.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mahfuz Roslan berkata, perintah itu menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar melindungi institusi diraja atau digunakan untuk kepentingan politik kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa isu itu bukanlah berkaitan 3R (kaum, agama, dan raja), namun ia melibatkan kerajaan yang dilihat mengenepikan titah Yang di-Pertuan Agong.

“(Ia juga melibatkan kerajaan) menggunakan alasan institusi diraja untuk menyekat kritikan terhadap kelemahan pentadbiran mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa institusi diraja wajar dilindungi kerana ia adalah kewajipan, namun tindakan itu mestilah bebas daripada motif politik.

Keduanya beliau menegaskan, supaya jangan menyalahgunakan kuasa sehingga menjadikan ‘gag order’ untuk melindungi kepentingan kerajaan.

“(Ia) adalah penyalahgunaan kuasa yang mencemar prinsip demokrasi,” terang Mahfuz.

Ketiganya, beliau menegaskan bahawa kritikan terhadap kerajaan bukan menghina raja kerana ia adalah sebahagian daripada hak rakyat dan tidak boleh disamakan dengan penghinaan terhadap institusi diraja.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan menyeru agar kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong serta tidak menjadikan institusi diraja sebagai alasan untuk menutup kelemahan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -