
KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa menyuarakan keresahan rakyat terhadap pelbagai isu semasa, termasuk tekanan kos sara hidup, kebebasan bersuara, dan keluhuran Perlembagaan yang kini sering tercabar.
Justeru, AJK PAS Pusat itu menyeru komitmen pemimpin untuk membina masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.
Luahan itu dikongsi di Facebook rasminya semalam.
Beliau juga mengakui impian rakyat semakin kabur akibat pelbagai cabaran yang melanda, termasuk rasa tertipu dengan prestasi pemimpin dan isu-isu berkaitan kepercayaan kepada institusi utama negara seperti raja, kedaulatan undang-undang, dan prinsip Perlembagaan.
“Prestasi mereka yang berkuasa semakin tidak meyakinkan, sekali gus menambah kerisauan dalam kalangan rakyat yang menghadapi tekanan hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Namun, beliau juga menekankan masih ada harapan yang boleh disyukuri.
“Ramai pemimpin yang semakin komited, terbuka dan bersedia mencari ikhtiar untuk Malaysia yang lebih baik.
“Jika tidak dipecahkan ruyung, mana akan dapat sagunya,” ujarnya yang juga Pengerusi Muafakat Nasional.
Beliau menzahirkan keyakinan, dengan usaha gigih dan kesungguhan, Malaysia mampu bangkit menjadi negara yang lebih baik.
Tambahnya, harapan itu perlu disemai bersama, dengan semua pihak berganding bahu demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. – HARAKAHDAILY 15/1/2025











