Video promosi TMM 2026: Menteri undang salah tafsir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia merasa amat terkilan melihat montaj pendek ditayangkan sebagai promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 sempena pelancaran rasmi TMM 2026 oleh Perdana Menteri kerana video tersebut tidak melambangkan negara Malaysia seluruhnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, video berdurasi 41 saat tersebut memperlihatkan semua tempat beribadat agama lain di Malaysia, namun masjid iaitu tempat ibadat penganut agama Islam yang menjadi majoriti anutan rakyat langsung tidak dipaparkan.

“Sekiranya Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing mengatakan bahawa tempat ibadat bagi umat Islam ada dalam video panjang namun mengapa perlu memasukkan tempat ibadat agama lain di Malaysia dalam video pendek tersebut?

“Kebiasaannya video pendek sudah tentu memaparkan perkara yang ingin ditonjolkan dalam satu-satu promosi. Adakah mereka merasakan masjid bukan lambang bagi negara Malaysia?” persoalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa dalam memaparkan video promosi negara, keunikan serta keharmonian pelbagai budaya, kaum, dan agama harus ditonjolkan agar negara tidak diinterpretasikan sebagai sebuah negara yang hanya dihuni oleh penganut agama bukan-Islam.

“Muslimat PAS menggesa pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menambahbaik montaj tersebut agar lebih menggambarkan ciri-ciri negara ini termasuklah majoriti kaum yang menghuni negara ini agar apabila promosi itu ditayangkan kepada negara luar, gambaran sebenar negara tidak disalah tafsir,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -