Adakah King Sing alergik terhadap Islam? – Bakri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Sri Tiong King Sing dipersoal sama ada mempunyai sikap alergik terhadap Islam atas tindak tanduk yang telah ditunjukkannya.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, Menteri tersebut bukan sahaja memberi jawapan selamat terhadap pertikaian yang berbangkit ke atasnya, malah melakukan provokatif terhadap pengkritiknya.

King Sing sedang berdepan ketidakpuasan hati awam berikutan video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) langsung tidak memaparkan masjid, tetapi terdapat gereja dan kuil dalam kandungannya.

Menurut Bakri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, apabila ramai netizen bertanya kepada Menteri yang berkaitan perkara itu, mereka mengharapkan jawapan dan penjelasan.

Tetapi katanya, adalah amat mengejutkan bila jawapan Menteri menyelar sikap sesetengah pihak dengan mengatakan cuba memanipulasi dan menjadikan perkara ini sebagai isu agama dan perkauman.

“Serta mengatakan pihak yang mengecam itu sebagai golongan yang ekstremis dan boleh mencabar keharmonian sosial di Malaysia. Tuduhan ini langsung tidak berasas dan bersifat provokatif.

“Saya masih ingat pada 24 Jun 2024 apabila Timbalan MOTAC, YB Khairul Firdaus Akhbar Khan menyebut di Parlimen tentang Langkawi boleh dijadikan sebagai sebagai destinasi pilihan Muslim.

“Malangnya pada 29 Jun 2024, Tiong King Sing memohon maaf berhubung cadangan yang dibuat Timbalannya. Siapa ekstremis dan rasis sebenarnya? Apakah Menteri MOTAC alergik dengan perkataan halal dan Muslim?” ujarnya.

Beliau menyifatkan adalah ‘Pelik bin Ajaib’ apabila dalam sebuah negara yang Islam menjadi Agama Persekutuan, tetapi terpaksa tunduk dan akur kepada keputusan dan pandangan bukan-Muslim.

Bakri memetik fakta bahawa Malaysia pernah dianugerahkan Top Rank Halal Tourist Destination 2022 seperti laporan GMTI Jun 2022 dengan Halal Tourism bernilai sekitar USD260 bilion tahun 2023 dan dijangka meningkat kepada USD417.7 bilion pada tahun 2034.

Jelasnya, nilai pasaran ini terus meningkat dari tahun ke setahun selaras dengan bertambahnya bilangan populasi umat Islam dunia iaitu pelancong Muslim bukan sahaja dari negara Arab bahkan dari India, China, Negara Asia lainnya serta Eropah.

Di samping sistem sertifikasi halal Malaysia katanya, mempunyai pelbagai keistimewaan dari segi prasarana dan keperluan kepada pelancong muslim, selain banyak masjid yang cantik dan indah dari segi arkitek dan sejarah.

“Tidak perlu alergik kepada perkataan Islamic Tourism dan sebagainya kerana ia punyai market tersendiri yang bernilai bilion ringgit. Jadi apa masalahnya jika sekiranya  masjid juga di munculkan dalam video tersebut?

“(Ia) bagi melambangkan Malaysia sebuah negara yang agama rasminya Islam terdiri dari berbagai kaum, budaya dan agama, harmoni barulah boleh dikatakan ‘Malaysia Truly Asia’.

“Jadi jawapan Menteri yang mengatakan golongan tertentu memanipulasi dan ekstrem itu sangat tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali. Bahkan ianya boleh menimbulkan keresahan rakyat di bawah dan suasana yang tidak harmoni.

“Sepantasnya Menteri mengaku kesilapan dan memperbaiki VT tersebut dan bukannya menyelar netizen secara membabi buta,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -