Orientasi fikiran Menteri tak junjung Rukun Negara

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketiadaan masjid di dalam video promosi ‘Tahun Melawat Malaysia 2026’ yang dilancarkan pada 6 Januari lalu telah menimbulkan persoalan besar kepada rakyat di negara ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, persoalan itu sama sekali tidak akan timbul sekiranya rumah ibadat agama lain tidak dipaparkan dalam video berkenaan.

“Kita tidak kata wajib ada gambar masjid dalam video itu. Tapi dalam keadaan mereka pergi tunjuk kuil dan gereja, maka timbullah sendiri persoalan mengapa tiada masjid ditunjukkan dalam video itu?

“Kalau tak tunjuk semua tiada masalah. Kalau gereja mereka tidak tunjuk, kalau kuil mereka tidak tunjuk, itu tidak mengapa. Tetapi bila mereka tunjuk kehidupan yang berbilang agama, maka tidak sepatutnya lah mereka tidak tunjukkan masjid.

“Dalam keadaan masjid di Malaysia ini menjadi tumpuan pelancong. Di Masjid Negara berapa ramai pelancong pergi? Di Masjid Putrajaya berapa ramai pelancong pergi tengok? Tak sebut lagi masjid di kampung kita, Masjid Kampung Laut yang dibina tanpa menggunakan satu paku pun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siri Ceramah Isu Semasa ‘Isu Adendum, Madani Derhaka’ anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu di Dewan Gelanggang Seni, di sini malam tadi.

Tambah Ahmad Fadhli, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar terhadap isu berkenaan adalah amat menyedihkan.

“Apa yang menyedihkan apabila Menteri Agama buat kenyataan bahawa ‘tidak ada masjid dalam video itu tidak menyebabkan syiar Islam terganggu’. Pulak dah, penat dengan kerajaan yang ada ini.

“Serupa juga kalau dia tidak ada dalam kabinet pun, agama tidak ada masalah. Bukan setakat masjid tiada, kalau menteri itu tiada pun, syiar agama tidak tergugat.

“Bukan masalah tergugat atau tidak. Masalah sekarang ini bagaimana orientasi, pemikiran seorang menteri yang sepatutnya menjunjung Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2025

- Advertisement -