Sorok Adendum: Kerajaan sengaja cetus kekeliruan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tindakan menyembunyikan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 terhadap kes bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak membuktikan Kerajaan Madani mempunyai agenda tertentu.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, Mahkamah Rayuan telah memberi kebenaran kepada bekas Perdana Menteri itu memfailkan rayuan, sekali gus membawa kes tersebut kembali ke Mahkamah Tinggi.

Katanya, keputusan itu turut mengesahkan kewujudan dan kesahihan dokumen adendum yang menjadi isu utama dalam kes ini.

“Menurut Mahkamah Rayuan, surat daripada Kesultanan Pahang jelas menunjukkan adendum tersebut adalah sah dan wujud.

“Namun apa yang menghairankan sehingga hari ini, kenapa ianya disembunyikan dan untuk apa ianya disembunyikan,” ujarnya ketika ditemui pada satu majlis semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan seorang menteri yang menyatakan bahawa isu ini diserahkan semula kepada mahkamah untuk diputuskan.

Menurut Wan Rohimi yang juga seorang pengamal undang-undang, kenyataan itu dilihat sebagai cubaan kerajaan untuk mengelak tanggungjawab.

“Adendum itu diperintah oleh Sultan sendiri. Apa lagi yang mahu dinafikan? Mahkamah hanya perlu bertindak jika ada pertikaian. Namun, dalam kes ini, kerajaan dilihat sengaja mencetuskan kekeliruan,” ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Madani sepatutnya mengakui dan mengisytiharkan adendum tersebut secara terbuka, bukannya terus berselindung di sebalik alasan teknikal mahkamah.

“Kami di PAS ini bukanlah berhasrat membela Dato’ Sri Najib terhadap kesalahan yang disabitkan sebelum ini. Apa yang kami perjuangkan adalah keluhuran Perlembagaan dan kuasa pengampunan yang dimiliki oleh Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah melalui proses pengampunan yang sama ketika dibebaskan daripada kes liwat.

Tegas ADUN Melor itu lagi, jika Agong telah memberikan pengampunan, semua pihak termasuk Perdana Menteri dan menteri berkaitan, wajib melaksanakannya tanpa berdolak-dalik.

Menurutnya, apa yang dipersoalkan sekarang, kenapa isu ini kerajaan cuba menyembunyikan maklumat berkaitan adendum tersebut selama setahun.

Katanya, tindakan itu dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan terhadap Agong dan institusi diraja oleh pihak kerajaan sendiri.

“Kami tidak membela individu, tetapi mempertahankan institusi dan keluhuran Perlembagaan negara.

“Kebetulan kes ini melibatkan Dato’ Sri Najib, tetapi pendirian kami tetap sama dalam apa jua keadaan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/1/2025

- Advertisement -