Video TMM 2026: Cerminan tidak hormati Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tindakan Kerajaan Madani yang tidak memasukkan imej masjid dalam video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) terus dipersoalkan tujuan di sebaliknya.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Nik Bahrum Nik Abdullah turut mempersoalkan tujuan sebenar Kerajaan Madani tidak memasukkan masjid dalam video promosi berkenaan.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak wajar dan mencerminkan kelemahan pihak berkaitan dalam menjaga sensitiviti umat Islam.

“Kita amat kesal dengan apa yang berlaku, apatah lagi video promosi tersebut telah diluluskan.

“Kenapa dalam banyak-banyak tempat ibadat seperti gereja dan kuil ditonjolkan, tetapi masjid, tempat ibadat utama umat Islam, langsung tidak dipaparkan?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Pemantapan dan Pemerkasaan Media Melalui Kecerdasan Buatan (AI) yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), dekat sini semalam.

Menurutnya, Malaysia telah diakui sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Oleh itu, tambah ADUN Panchor itu lagi, masjid sepatutnya diutamakan sebelum tempat ibadat lain dipaparkan.

Beliau juga mempersoalkan tujuan sebenar pihak yang bertanggungjawab dalam menghasilkan video tersebut.

“Kita tidak tahu apa maksud mereka. Mungkin ia cubaan untuk melihat apa reaksi rakyat jika masjid sengaja ditiadakan.

“Walaupun kerajaan berjanji akan memasukkan masjid dalam video versi panjang, namun itu bermakna ia belum lagi ada ketika ini,” tegasnya.

Nik Bahrum turut mempersoalkan integriti pihak bertanggungjawab, terutama menteri yang telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Agama Islam negara, namun sanggup bertindak sedemikian.

“Setelah isu ini digegerkan, baru mereka mahu memasukkan masjid. Ini menunjukkan kelemahan yang amat dikesalkan,” katanya.

Beliau menambah, pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam telah berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

“Sejak kali pertama mereka memerintah pada 2018, kita sudah lihat tanda-tanda ini. Kini, setelah kembali memerintah, perkara sama terus berlaku secara berulang,” ujarnya.

Nik Bahrum juga berpendapat tindakan ini berkemungkinan mencerminkan sikap tidak menghormati Islam oleh pihak tertentu dalam kerajaan.

“Apabila mendapat kuasa, mereka gunakan untuk menggugat hak dan kepentingan umat Islam di negara ini,” katanya.

Beliau menyeru rakyat untuk menyedari perkara ini dan mempertimbangkan semula mandat kepada Kerajaan Madani.

“Hanya melalui kesedaran rakyat dan pengundi, kerajaan yang lebih menghormati Islam seperti Perikatan Nasional dapat diberi peluang untuk memerintah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/1/2025

- Advertisement -