BSMM Kelantan bantu pasang sistem penapis air

- Advertisement -

TUMPAT: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Kelantan telah melaksanakan inisiatif Operasi Sanitasi dan Kebersihan Air (WASH) bagi membantu komuniti yang terkesan akibat banjir di Kampung Simpangan, dekat sini.

- Advertisement -

Program ini melibatkan pemasangan sistem penapisan air bersih menggunakan teknologi terkini untuk memastikan bekalan air bersih mencukupi bagi kegunaan harian seperti memasak dan minum.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, sistem ini mampu menapis air mentah kepada air bersih serta selamat digunakan.

Menurutnya, projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif eWASH yang bertujuan memastikan komuniti terjejas banjir mendapat bekalan air bersih sepanjang tempoh pemulihan pasca banjir.

Beliau yang juga ADUN Pengkalan Kubor menegaskan kepentingan program seperti ini untuk mencegah penyebaran penyakit bawaan air seperti cirit-birit dan kolera, yang berisiko meningkat di kawasan terjejas bencana.

Menurutnya, kejayaan program ini bergantung kepada dokongan komuniti setempat serta kerjasama semua pihak.

“Semoga usaha bersama BSMM dan masyarakat setempat dapat membantu memastikan kelancaran program ini demi kesejahteraan semua pihak,” katanya selepas meninjau operasi BSMM di lokasi tersebut.

Tambahnya, inisiatif ini mencerminkan komitmen pihak berkuasa dan BSMM dalam memastikan kebajikan penduduk terjejas banjir terus terpelihara, khususnya dalam aspek kesihatan dan kebersihan asas. – HARAKAHDAILY 10/1/2025

- Advertisement -