AI: Teknologi yang kini menjadi keperluan zaman

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau seumpamanya amat diperlukan di zaman ini bagi mempercepatkan lagi gerak kerja semasa.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, untuk itu semua petugas media, pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat amat sesuai mempelajari sistem ini.

Beliau berkata, teknologi tersebut pada hari ini adalah peluang yang perlu dimanfaatkan, kerana jika tidak akan terus ketinggalan.

“Lebih parah lagi jika kita bercita-cita membangunkan teknologi baharu, sedangkan teknologi sedia ada pun tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, teknologi AI mampu memudahkan tugasan, termasuk dalam bidang media, di mana ia dapat digunakan untuk menghasilkan berita atau cerita yang lebih bermaklumat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Pemantapan dan Pemerkasaan Media Melalui Kecerdasan Buatan (AI).  .

Bengkel berkenaan anjuran ILDAN dengan kerjasama Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd yang di adakan di Dewan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, dekat sini semalam.

“Jika dahulu kita mencari maklumat melalui _Google_, itu pun memerlukan kemahiran tertentu. Tetapi dengan AI, ia lebih mudah kerana dapat memberikan jawapan yang lebih spesifik kepada keperluan pengguna,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa AI tetap mempunyai kelemahan, termasuk ketiadaan nilai perasaan, moral, dan kemungkinan berlaku kesilapan.

Oleh itu katanya, kursus berkaitan AI perlu diadakan untuk pelbagai pihak seperti pelajar, pemimpin, golongan media, serta lantikan politik agar mereka memahami dan dapat menggunakan teknologi ini secara bijaksana.

Beliau memberitahu, perkembangan teknologi kecerdasan AI sebenarnya telah bermula sejak tahun 1950-an, seiring dengan kemampuan teknologi pada masa tersebut.

Namun tambahnya, AI mula mendapat perhatian besar setelah diperkenalkan secara meluas melalui filem ‘Terminator’ walaupun ketika itu dunia masih melihatnya sebagai sesuatu yang biasa.

“Kejutan besar berlaku pada tahun 1997 apabila juara dunia catur, Garry Kasparov, tewas beberapa kali kepada komputer AI dalam pertandingan catur dunia.

“Telah melunturkan namanya sebagai juara dunia catur yang diunggulinya sebelum ini dengan kekalahan komputer,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Institut Latihan Darulnaim (ILDAN), Borhanuddin Ahmad berkata, kursus AI disasarkan kepada pegawai media di peringkat DUN, Parlimen, dan urusetia.

“Mereka dipilih memandangkan sasaran ini sebagai duta kerajaan kepada masyarakat, sama ada di lapangan atau di alam maya,” katanya.

Beliau menambah, petugas dan pengamal media bukan sahaja perlu tahu menggunakan AI, tetapi juga mampu memanfaatkannya untuk diterjemahkan dalam bentuk yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Selaras dengan dasar Kelantan Membangun Bersama Islam (MBI), mereka perlu mempamerkan sesuatu yang baik dan menarik yang selaras dengan penghayatan dasar ini,” katanya.

Tambahnya, penekanan terhadap penguasaan teknologi seperti AI diharap dapat memperkasakan golongan media dan kepimpinan dalam menyampaikan mesej yang lebih berkesan kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 10/1/2025

- Advertisement -