
KUALA LUMPUR: Kenaikan tambang bas sekolah bermula sesi baharu 2025 tidak patut berlaku selepas penyelarasan subsidi bahan api itu diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tahun lalu.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, beliau tidak setuju dengan kenaikan harga bahan api itu yang disifatkan menambah beban rakyat.
“Adakah kenaikan tambang bas ini akibat kesan penyelarasan subsidi? Sebelum ini kerajaan telah berjanji selepas penyelarasan subsidi tiada kenaikan kos bahan api.
“Saya harap kerajaan berikan subsidi kepada pengusaha bas serta menangguh penyelarasan subsidi RON95 kerana ia memberi kesan kepada rakyat,” katanya kepada HarakahDaily, hari ini.
Khairil berkata, penyelarasan subsidi juga dilihat tidak lengkap dan tidak sempurna serta banyak cacat cela menyebabkan kenaikan harga barangan pengguna.
“Kerajaan hanya buat pekak dan tuli kepada kesusahan rakyat tanpa tahu kesan dan mekanisme. Isu ini dari tahun lepas lagi di mana kita tahu pelaksanaan subsidi meresahkan rakyat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan tambang bas sekolah dijangka meningkat antara RM10 hingga RM20 menjelang sesi persekolahan tahun 2025.
Peningkatan itu disebabkan kos penyelenggaraan yang semakin tinggi, termasuk kenaikan harga alat ganti serta pelaksanaan kadar gaji minimum baharu. – HARAKAHDAILY 10/1/2025











