Kejadian tembakan berhampiran Pejabat Presiden Chad

Mahamat Idriss Deby. (FOTO: AP)
- Advertisement -

N’DJAMENA: Insiden tembak-menembak berlaku berhampiran bangunan Pejabat Presiden Chad, Mahamat Idriss Deby pada petang Rabu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dan mendorong kenderaan tentera menuju ke arah pejabat berkenaan bagi mengawal keadaan.

- Advertisement -

Menurut laporan daripada media dan penduduk tempatan, insiden itu turut melibatkan serangan di bahagian dalam pekarangan bangunan, namun tiada butiran lanjut diberikan.

“Saya terperangkap di Place de Nation, di hadapan pejabat presiden kerana saya mendengar tembakan kuat dan kenderaan tentera datang dari semua arah,” kata seorang penduduk, Abbas Mahamout Seid kepada media.

Insiden itu turut menyebabkan laluan jalan raya menuju ke pejabat presiden telah disekat, dengan kereta kebal dilihat melakukan rondaan di sekitar jalanan.

Menteri Infrastruktur, Aziz Mahamat Saleh dalam kenyataannya di Facebook berkata, “Tiada apa-apa yang serius, jangan panik, keadaan terkawal,” tanpa mengulas lanjut.

Insiden tembakan itu berlaku kurang dua minggu selepas pilihan raya umum pada 29 Disember lalu, satu siri pilihan raya yang dianggap kerajaan sebagai langkah ke arah menamatkan pemerintahan tentera.

Ia juga berlaku di tengah-tengah konflik yang berterusan, termasuk serangan oleh kumpulan Boko Haram di wilayah Tasik Chad dan penglibatan Chad dalam konflik dengan negara jiran, Sudan. – Agensi / HARAKAHDAILY 9/1/2025

- Advertisement -