
KUALA LUMPUR: Laporan polis secara besar-besaran berkaitan isu Titah Adendum akan diadakan di seluruh negara oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi mencapai 1,000 laporan yang berterusan selama seminggu bermula hari ini.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa berkata, fokus utama laporan berkenaan adalah mendesak pihak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh keberadaan Titah Adendum.
“Kami memohon agar pihak polis menjalankan siasatan terhadap beberapa agensi kerajaan, termasuk Pejabat Peguam Negara (AGC), Pejabat Perdana Menteri, Menteri Wilayah Persekutuan, Menteri Dalam Negeri, atau mana-mana agensi yang berkenaan.
“Sehingga kini, tiada jawapan yang jelas dan sahih daripada pihak berkenaan mengenai keberadaan Titah Adendum tersebut. Kami mendesak agar pihak polis segera menyiasat sekiranya titah tersebut telah dimusnahkan atau disembunyikan.
“Jika titah tersebut telah dimusnahkan, kami memohon agar pihak polis menjalankan siasatan ke atas sistem pengurusan surat dalam agensi kerajaan, termasuk memeriksa rekod dan jejak pengedaran surat tersebut.
“(Surat tersebut) Sepatutnya telah melalui sistem ‘tracking’ surat rasmi kerajaan,” katanya ketika sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, di sini.
Menurut Mohd Zai, pihaknya bersama gabungan NGO Melayu-Islam juga mendesak supaya ketua polis negara membuka ketelusan siasatan ini kepada rakyat dan pihak berwajib termasuk Parlimen dan Majlis Raja-Raja Melayu.
“Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran terhadap titah dan arahan Yang di-Pertuan Agong, kami menegaskan bahawa tindakan tegas mesti diambil, kerana ini adalah satu bentuk penderhakaan dan pelanggaran serius terhadap Perlembagaan.
“Jika siasatan mendapati titah tersebut hilang atau dimusnahkan, kami meminta agar pihak polis terus mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang, termasuk membawanya ke mahkamah jika perlu.
“Kami juga akan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan Parlimen untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan memantau perkembangan siasatan ini dengan telus,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/1/2025











