
KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) disifatkan tidak sensitif terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan kerana tidak mempamerkan elemen masjid dalam video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Ketua Peneranga Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, video itu tidak layak dijadikan bahan promosi kerana gagal menunjukkan elemen inklusiviti yang seimbang.
“Bagus, akui pun video tersebut tidak layak untuk dijadikan video promo untuk Tahun Melawat Malaysia 2026. Akuilah kena ada bahan lain yang lebih inklusif ketika klip kuil, tokong dan gereja dimasukkan, tapi tidak masjid.
“Bukti betapa tidak hati-hatinya seorang Menteri meneliti hasil yang dikeluarkan apatah lagi majlis besar yang melibatkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Melayu Islam).
“Namun gagal menterjemahkan maksud inklusif apabila tiada satu-satunya imej agama Islam sebagai agama Persekutuan, walaupun sekecil montaj masjid,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Nadzir Helmi turut mempersoalkan mengapa tiada paparan masjid dalam video itu sedangkan tempat ibadat agama lain yang mempunyai elemen sejarah itu dapat diletakkan.
“Kemudian Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing sebut tentang inklusiviti?” persoalnya.
Nadzir turut menyuarakan rasa kesal terhadap respon King Sing kerana menuduh pihak yang memberi teguran sebagai ekstremis, menggugat keharmonian, tidak menghormati adat dan agama lain.
“Secebis kemaafan tidak dihulur, dilabel pula dengan pelbagai tuduhan kepada yang menegur. Menteri, jadilah Menteri seluruh rakyat Malaysia, apatah kaum dan agama majoriti negara kita.
“Jangan dijentik-jentik isu ini dan mengheret dan memperkudakan isu perpaduan hanya untuk menegak benang yang basah,” katanya menyeru agar King Sing meletakkan jawatan jika tidak mampu menjunjung kedaulatan negara.
Terdahulu, video montaj TMM 2026 menerima kritikan termasuk pemimpin pembangkang yang menggesa MOTAC menarik balik video itu kerana cuai berikutan tiada elemen masjid dipaparkan sedangkan terdapat paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.
King Sing berkata, video pelancaran seperti itu sememangnya tidak boleh terlalu panjang atau terperinci dan meminta agar semua pihak tidak mempolitikkan isu itu – HARAKAHDAILY 9/1/2025











