Selepas sembunyi Titah Adendum, kini berdolak-dalih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Titah Adendum terhadap mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak yang disembunyikan daripada pengetahuan umum amat meresahkan kerana kerajaan tidak seharusnya berbuat demikian.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh berkata, apa yang lebih dikesalkan adalah apabila kerajaan lebih banyak berdolak dalik dari menyatakan perkara sebenarnya.

“Tindakan ini bagai meremehkan titah Yang di-Pertuan Agong dan ia merupakan penderhakaan terhadap intitusi Raja-Raja Melayu.

“Seperti mana yang ditegaskan oleh Perdana Menteri yang patuh untuk menubuhkan kerajaan perpaduan biarpun dengan seteru politiknya iaitu Umno, seharusnya Perdana Menteri perlu patuh titah berkenaan dalam perkara ini.

“Perdana Menteri tidak boleh selektif dalam melaksanakan titah yang dikehendaki sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Nuridah, perkara itu perlu diberi perhatian bukan kerana ia melibatkan bekas perdana menteri, namun kerana ia melanggar prinsip keadilan.

“Prinsip keadilan ini Allah tegaskan dalam Surah An-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud ‘Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum di antara manusia dengan adil’.

“Sesungguhnya pelaksanaan prinsip keadilan ini haruslah ditegakkan tidak mengira pangkat atau darjat, pemimpin mahupun rakyat, saudara mahupun seteru.

“Kita haruslah bertindak sebagai rakyat yang menjunjung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang di bawah naungan kesetiaan kepada Raja dan Negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/1/2025

- Advertisement -