Ketidakhadiran calon SPM tanda amaran buat KPM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia memandang serius terhadap laporan ketidakhadiran 10,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam peperiksaan bertulis subjek teras Bahasa Melayu baru-baru ini.

- Advertisement -

Timbalan Ketuanya, Mohd Hafez Sabri berkata, angka itu bukan sahaja suatu yang mengejutkan tetapi memberi gambaran bahawa terdapat masalah besar sedang melanda dalam sistem pendidikan negara.

“Mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran teras dan wajib lulus untuk seseorang calon itu mendapatkan SPM.

“Ketidakhadiran mereka dalam peperiksaan tersebut akan memberi kesan terhadap masa depan mereka,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Hafez yang juga ADUN Manjoi berkata, SPM dianggap peperiksaan awam paling penting bagi seorang pelajar sehingga ia dijadikan sebagai penanda aras dalam mengukur tahap sistem pendidikan negara.

“Justeru, kami menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk segera menyiasat punca sebenar fenomena ini.

“Seterusnya, mengambil langkah yang agresif untuk memastikan calon-calon SPM ini tidak keciciran sehingga memberi kesan terhadap mereka dan negara pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, kementerian itu memaklumkan peratus kehadiran calon SPM untuk sesi pembelajaran 2024 adalah sebanyak 97 peratus.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kementeriannya sedang menjalankan proses mengemas kini memandangkan terdapat kelompongan kira-kira 10,000 calon SPM 2024 yang belum mengesahkan kehadiran. – HARAKAHDAILY 7/1/2025

- Advertisement -