
SANDAKAN: Rakyat Sabah yang akan mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) nanti diingatkan supaya memilih pemimpin yang berintergriti.
Ketua Penerangan PAS negeri, Mustaman Mustain berkata, ada tiga syarat pemimpin berintergriti iaitu takut kepada Allah SWT, ada sifir dosa pahala dalam kamus politik, dan ada pertimbangan syurga dan neraka.
“Inilah politik Islam yang dibawa oleh Nabi SAW. Tiga perkara ini tidak ada dalam politik sekular yang mengasingkan agama dengan politik sehingga wujudnya pandangan matlamat menghalalkan cara. Atas sebab itulah timbulnya isu jika mahu berkuasa boleh rasuah.
“Ini peringatan kepada diri sendiri dan tuan-tuan yang akan mengundi nanti. Kitalah yang akan memilih pemimpin yang boleh membela nasib rakyat.
“Kalau kita tidak pilih pemimpin yang berintergriti, infrastruktur seperti jalan raya Telupid akan kekal bermasalah, projek Pan Borneo sehingga kini tidak selesai kerana kerap tukar kontraktor, isu air dan elektrik Sandakan tiada penyelesaian,” katanya.
Mustaman ketika merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Saidina Umar Al-Khattab di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Menurutnya, pemimpin yang takut kepada Allah tidak akan melakukan perkara yang menyeleweng dan menyusahkan rakyat.
Mustaman berkata, agensi kerajaan negeri yang ada cukup untuk menyelesaikan masalah yang wujud sekiranya tidak ada isu rasuah dan masalah ketirisan.
“Kepada ibu bapa, undilah pemimpin berintergriti jangan pilih yang ada kes rasuah. Kepada ibu-ibu, ajak suami, anak, bapa mengundi dengan bijak,” katanya.
Tambahnya, pada tahun ini rakyat negeri ini akan mengundi dalam PRN 2025.
“Sekiranya rakyat Sabah tidak berubah selama-lamanya Sabah akan berada di takuk lama. Sebagai orang muda kena melihat misi yang jauh untuk negeri. Asasnya jangan salah pilih pemimpin,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/1/2025











