
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu komited memperluaskan inisiatif Nomad Digital ke tujuh pulau peranginan utama negeri ini bagi menarik minat golongan profesional yang bekerja secara fleksibel dari pelbagai lokasi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Razali Idris berkata, antara pulau yang menjadi sasaran adalah Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Tenggol dan Pulau Lang Tengah.
“Kita telah berbincang dengan beberapa pengusaha menara telekomunikasi untuk memastikan liputan internet sekurang-kurangnya 70 peratus di semua pulau ini. Nomad Digital memerlukan infrastruktur yang kukuh, termasuk capaian internet dan telefon sepanjang masa.
“Rangkaian internet yang stabil diperlukan sepanjang masa, kerana konsep bekerja kini bukan lagi terhad di rumah. Sebagai contoh, pelancong dari Amerika Syarikat memilih untuk tinggal di Pulau Perhentian, di mana mereka dapat bekerja sambil menikmati percutian. Fenomena ini telah menjadi tular dan menarik perhatian ramai.
“Pulau Perhentian telah menjadi destinasi antarabangsa bagi kumpulan ini dan tahun ini kita mahu memperluaskannya ke Pulau Redang serta pulau lain,” katanya ketika ditemui selepas Program Bersih Pantai Monsun Terengganu 2024 di Pantai Seberang Takir, di sini semalam.
Menurut Razali, sektor pelancongan pulau menyumbang lebih 70 peratus kepada industri pelancongan negeri dan program ini dijangka memperkukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi pilihan.
“Pelancong dari luar negara, terutamanya dari Eropah dan Timur Tengah, mencari ketenangan di pantai pada waktu Monsun Timur Laut yang kurang sesak. Pulau-pulau kita mempunyai potensi besar untuk memenuhi permintaan ini.
“Pulau Kapas contohnya, sesuai untuk aktiviti seperti _‘windsurfing’_. Selain itu, lokasinya yang dekat dengan daratan menjadikannya pilihan yang lebih mudah diakses,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat cabaran bagi meningkatkan tarikan di pulau-pulau tertentu seperti Pulau Tenggol yang belum popular di kalangan Nomad Digital kerana infrastruktur telekomunikasi terhad.
“Nomad Digital tak berapa popular di situ, Pulau Perhentian ni dia ada kampung, boleh buat aktiviti lain selain daripada dia buat kerja, dia boleh aktif di kampung,” katanya.
Beliau berkata, dalam usaha melibatkan komuniti setempat, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan latihan kepada pelajar sekolah bagi menganjurkan persembahan kebudayaan di kampung-kampung sekitar kawasan pelancongan.
“Kami menerima maklum balas bahawa pelancong jarang mengunjungi kampung. Oleh itu, kami akan menambah daya tarikan dengan menganjurkan persembahan kebudayaan negeri.
“Tahun ni kita akan hantar unit pelancongan negeri untuk latih anak sekolah (mengenai) kebudayaan di kampung,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/1/2025











