
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 15 tan sampah berjaya dikutip dalam program Bersih Pantai Monsun Terengganu 2024 yang diadakan serentak di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu dan Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, program melibatkan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan, termasuk jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan sukarelawan.
Beliau berkata, program itu bukan sahaja bertujuan membersihkan kawasan pantai, tetapi juga mendidik masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan sebagai aset pelancongan negeri.
“Keterlibatan semua pihak, termasuk Yang Berhormat, ketua jabatan, NGO dan GLC, sangat penting. Program ini menjadi petunjuk bahawa kebersihan pantai adalah salah satu produk pelancongan utama Terengganu,” katanya ketika ditemui di Pantai Seberang Takir, di sini, semalam.
Turut hadir, ADUN Ladang, Zuraida Md Noor; ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman.
Menurut Razali, proses pengumpulan sampah dijalankan secara berstruktur dengan memisahkan sisa seperti botol kaca, kayu dan sampah ringan sebelum dilupuskan mengikut prosedur yang sesuai.
“Kutipan sampah dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan. Sisa berat seperti kayu akan diuruskan oleh Majlis Bandaraya, manakala sampah ringan akan dibuang ke tong sampah dan dilupuskan sama ada ditanam atau melalui kaedah lain,” jelasnya.
Beliau turut mengumumkan bahawa program serupa, Monsun Clean Up 2025, dijangka akan diadakan pada hujung Disember tahun ini, selain kempen Terengganu Bersih yang menyeluruh akan dilaksanakan pada April 2025, melibatkan semua daerah di negeri ini.
Beliau berkata, sebagai langkah lanjutan, beberapa GLC telah menyatakan komitmen untuk menjadi ‘bapa angkat’ bagi pantai-pantai di seluruh negeri, termasuk PETRONAS yang dijangka menyelia kebersihan Pantai Teluk Ketapang. – HARAKAHDAILY 5/1/2025











