Fun Run PASTI Kangar eratkan hubungan keluarga

Mohd Suhairi (paling kanan) merakam kenangan bersama penerima cabutan bertuah berupa basikal yang disampaikan Senator Baharuddin (paling kiri)
- Advertisement -

KANGAR: Program Fun Run anjuran PASTI Kawasan Kangar bagi sesi 2024/2025 berlangsung dengan penuh meriah melibatkan penyertaan seramai 628 peserta yang terdiri daripada ibu bapa dan pelajar, di sini semalam.

- Advertisement -

Pengerusi PASTI Kawasan Kangar, Mohd Suhairi Ghazali berkata,  program tersebut bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat kerjasama.

“Selain itu, ia menjadi platform untuk memperkenalkan PASTI sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak yang unggul serta menggalakkan penyertaan dalam aktiviti berfaedah,” katanya kepada Harakahdaily.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Baharuddin Ahmad.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail.

Antara yang menarik perhatian ialah hadiah utama berupa tiga buah basikal serta 20 hamper cabutan bertuah, yang menambah kemeriahan acara.

Sebagai edisi kedua di peringkat kawasan, program Fun Run ini berjaya mengisi masa lapang peserta dengan aktiviti sihat, memupuk disiplin, ketekunan, dan nilai positif, di samping memperkukuhkan ukhuwah dalam masyarakat.

Pendaftaran PASTI untuk sesi 2025 masih dibuka di 13 Cawangan di kawasan ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai keluarga menyertai program pendidikan yang membina generasi muda berlandaskan nilai Rabbani. – HARAKAHDAILY 5/1/2025

- Advertisement -